Thursday 22 March 2018

PROJEK RUMAH KUCING SAIZ 8 kaki lebar x 10 kaki panjang x 7 kaki tinggi "OUTDOOR"



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua…


Kali ini ARKITEK MEOW nak buat review salah satu projek rumah kucing outdoor yang telah kami siapkan di Bukit Damansara Kuala Lumpur…

Task yang diberikan kepada kami adalah untuk menyelesaikan keadaan kucing-kucing milik tuan rumah sebanyak 15 ekor yang sebahagiannya duduk di dalam cage yang sempit da aada juga yang berkeliaran di kawasan laman serta di dalam rumah. Kebanyakan kucing-kucing yang besar tinggal didalam cage yang sempit, menyebabkan kucing-kucing ini seperti didalam penjara… Kucing-kucing lain pula ada yang dilepaskan di sekitar rumah yang menyebabkan ia menganggu aktiviti harian pemilik rumah… ada yang buang air dan najis bersepah di dalam dan luar rumah…

Perletakan  kucing didalam cage pula diletakkan di kawasan teres berbumbung bersebelahan dengan ruang rehat. Akibatnya ruang yang sepatutnya dijadikan ruang rehat outdoor menjadi bersepah dan berbau busuk. Ini telah menganggu aktiviti rehat pemilik rumah…

Untuk menyelesaikan masalah ini, ARKITEK MEOW telah berbincang dengan pemilik rumah dan mencadangkan satu ruang dibelakang rumah yang sedikit jauh dari tempat asal cage kucing. Ruang berikut amat sesuai keadaan tanah disitu lebih tinggi dimana air kotoran cucian kucing boleh terus mengalir ke longkang. Selain dari itu, kawasan itu terdapat pokok-pokok besar yang akan memberi keselesaan yang maksima kepada kucing-kucing tersebut.



Dengan itu ARKITEK MEOW juga mencadangkan tembok belakang asal digunakan untuk disambungkan dengan rumah kucing outdoor saiz 6 kaki x 8 kaki x 7 kaki tinggi ini. Supaya ruang belakang tidak menjadi terlalu sempit untuk laluan pemilik rumah.



Secara asasnya ARKITEK MEOW telah merekabentuk sebuah rumah kucing yang berbumbung beserta salur air hujan supaya air hujan tersebut tidak mengotorkan tanah disekeliling rumah kucing. Struktur asas rumah kucing ini pula dibina dengan menggunakan kayu balau dimana ia tahan cuaca dan anai-anai. Bahan binaan dinding dan bumbung pula menggunakan asbestos dimana ia dapat menahan kepanasan menyerap kedalam rumah kucing. Sebelum rumah kucing tersebut dibina, ARKITEK MEOW telah membina lantai konkrit beserta salur air buang kedalam longkang asal. Tujuannya adalah untuk memudahkan kerja-kerja mencuci kotoran kucing-kucing tersebut. Jaring dawai halus pula diletakkan disekeliling rumah kucing untuk sekuriti dan pengudaraan.




Didalam rumah kucing pula, ARKITEK MEOW telah merekabentuk dan membina empat bilik berpintu untuk kucing-kucing yang melahirkan anak. Terdapat beberapa para, jambatan dan ruang yang direka untuk keselesaan dan tempat bermain kucing-kucing tersebut.



ARKITEK MEOW rasa amat bersyukur kerana dapat menyiapkan rumah kucing ini dan berterimakasih kepada pemilik rumah yang memberi peluang kepada ARKITEK MEOW untuk berkhidmat dan memberi manfaat sama ada kepada manusia dan juga haiwan….




Kalau ada nak buat rumah kucing atau ada idea yang boleh share, sila hubungi kami ARKITEK MEOW di 0173110308 atau 0173110307 dan boleh juga email ke arkitekmeow@gmail.com

Tuesday 22 August 2017

PROJEK RUMAH KUCING SAIZ 5 kaki lebar x 10 kaki panjang x 7 kaki tinggi "OUTDOOR"


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua…

Kali ini ARKITEK MEOW nak buat analisa salah satu projek rumah kucing outdoor yang telah kami siapkan di Lumut, Perak…

Ini adalah first time kami buat rumah kucing keluar dari tempat kebiasaan kami iaitu di area Lembah Klang… Kalau ikutkan, kami tak berminat nak ambil projek di luar daerah kerana kemampuan kami terbatas… Tetapi rezeki itu datang dari Allah yang mengetahui bahawa kami mampu melaksanakannya… Cabarannya bukan apa pun sebab Perak tu pun sebelah aje dengan negeri Selangor, at least kami boleh belajar dan berfikir bagaimana nak melaksanakannya ditempat yang diluar dari daerah kami….

Apakah cabaran yang perlu kami lalui itu?

1) Saiz rumah kucing yang ditempah tu saiz 5 x 10 x 7, dan lori yang kami sewa pula yang bersaiz 3 tan mengatakan saiz rumah kucing tu tak muat masuk lori kerana dihalang oleh saiz bumbung yang lebih besar…

2) Rumah kucing yang kami bina tu diperbuat dari kayu balau iaitu sejenis kayu keras yang tahan anai-anai dan cuaca. Kayunya amatlah berat. Kalau nak angkat naik lori tu bolehlah pakai jack, yang jadi masalahnya nak bawak turun dan angkut menuju ke belakang rumah customer… Kalau nak angkat kena pakai seramai 6 orang pekerja… Bolehlah pakai 6 orang pekerja tapi berapa pula kosnya, semata-mata nak bawak angkat turun selama 30 minit tu gajinya nak satu hari punye gaji… So, kosnya nanti melambung tinggi… Sedangkan nak buat rumah kucing ni hanya pakai 2 orang pekerja sahaja…

3) Cabaran lain pula, kalau nak bina rumah kucing di Perak, at least 5 hari nak kena tinggal di sana… so, berapa kos penginapan pula utk kami dan pekerja… Jadi kosnya menjadi semakin tinggi.

4) Kalau kami bina rumah kucing sebiji siap di Shah Alam kemudian hantar ke Perak, masalahnya saiz rumah kucing yang ditempah tu tak muat nak melalui lorong tepi rumah untuk dihantar ke belakang rumah…

So, apakah solution yang kami fikirkan? Fikir punye fikir, jadi kami telah mencadangkan kaedah berikut  iaitu membina rumah kucing di bengkel mengikut part by part iaitu bina dinding satu part, bumbung satu part, playhouse satu part. Nanti kat site barulah kami pasang. Kira macam kaedah Lego lah… Jadi solution ni telah berjaya menyelesaikan semua masalah yang kami nyatakan diatas…

Macam senang aje solutionnya kan? Tapi nak melaksanakannya bukan senang… Kami kena buat satu shop drawing dimana ukuran dan rekabentuknya kenalah tepat dan betul… Dimana shop drawing tersebut lebih detail… ada shop drawing dinding, bumbung, playhouse dan struktur. Bila ada shop drawing maka apabila nak pasang kat site nanti, pemasangannya akan lebih tepat, betul dan kerja akan lebih cepat supaya tempoh berada di Perak hanya satu hari sahaja.
Ok, dah la cerita tentang cabarannya… Kami nak cerita pula apakah task yang diberi oleh customer untuk selesaikan masalah dia dan kucingnya…

So, sebagai ARKITEK MEOW kami kena berfikir bagaimana nak merekabentuk dan membina sebuah rumah kucing yang menepati kehendak dan keperluan pengguna… Penggunanya bukan sahaja manusia tetapi juga kucing… Manusia boleh cakap apa yang dia hendak, tetapi kucing ni kita kena selami behavior nye sebab kucing tak boleh cakap kan…

Task nya ialah :-

1) Customer nak buat rumah kucing diluar rumah kerana kucingnya langsung tak boleh diletakkan didalam rumah. Ini adalah kerana ada ahli keluarga yang alergik dengan bulu dan bau kucing tersebut. Kita mungkin cakap, apa salahnya terus letak kucing kat luar macam kucing kampung? Just nak bagitau lah ini kucing mahal jenis Scottish Fold…

2) Customer nak rumah kucing yang dibina outdoor ni mesti selesa macam dalam rumah, supaya anaknya boleh duduk dalam rumah kucing tu untuk bermain-main dengan kucing tu. Keselesaan ni juga untuk kucing tersebut kerana siang hingga malam kucing tu kena tinggal kat dalam untuk tidur, buang air besar, makan dan bermain…




So, hasilnya kami telah merekabentuk sebuah rumah kucing yang diperbuat dari kayu balau dengan dinding panel asbestos beserta bilik dan tempat bermain didalamnya. Bumbungnya walaupun diperbuat dari metal deck (panas untuk kucing), kami telah meletakkan siling beserta bahan penyerap haba untuk mengelakkan kepanasan pada ruang interior rumah kucing. Selain dari itu, rumah kucing tersebut tidaklah tertutup sepenuhnya, kerana terdapat jaring untuk sekuriti dan pengudaraan yang cukup…








ARKITEK MEOW rasa amat bersyukur kerana dapat menyiapkan rumah kucing ini dan berterimakasih kepada pemilik rumah yang memberi peluang kepada ARKITEK MEOW untuk berkhidmat dan memberi manfaat sama ada kepada manusia dan juga haiwan….

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia" (hadis)

"Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya)" (hadis)


Kalau sesiapa ada nak buat rumah kucing atau ada idea yang boleh share, sila hubungi kami ARKITEK MEOW di 0173110308 atau 0173110307 dan boleh juga email ke arkitekmeow@gmail.com

Sunday 13 November 2016

MENGAWAL PENGGUGURAN BULU


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Pengguguran bulu boleh menjadi masalah yang besar bagi setiap pemilik kucing. Tentunya untuk membersihkan bulu-bulu yang gugur satu tugas yang tidak menyeronokkan, bukan?


Berikut adalah beberapa petua yang boleh anda lakukan untuk mengawal pengguguran bulu:

1.   Pilih berus yang betul
Kucing menggugurkan bulunya secara bermusim. Kucing yang banyak menggugurkan bulu pula harus diberus bulunya setiap hari. Pemilihan jenis berus juga memainkan peranan. Jika kucing anda mempunyai bulu panjang yang sering melekat antara satu sama lain dan bergumpal (mat), gunakan alat khas yang dipanggil ‘mat removing tool’ untuk meleraikan bulunya. Anda juga digalakkan menggunakan conditioner bagi bulu dalam bentuk semburan agar bulu menjadi sihat dan tidak mudah gugur.

2.   Ubah diet
Bulu yang baik dan sihat bermula daripada diet yang sihat. Beri kucing anda makan makanan yang mengandungi asid lemak Omega 3 dan Omega 6. Ia menjadikan bulu kucing sihat dan mengurangkan pengguguran bulu.

3.   Tutup perabot
Cara yang paling mudah untuk mengelakkan perabot anda daripada terkena bulu kucing adalah dengan menggunakan sarung perabot khas bagi tujuan ini. Ianya boleh digunakan sepanjang masa atau ketika musim bulu kucing banyak gugur.

4.   Mandikan selalu
Mandian tidak hanya menghilangkan bau yang tidak sedap. Mandian yang baik membantu untuk membuang bulu-bulu yang telah gugur dan juga lebihan minyak yang terdapat pada bulu dan kulit kucing. Jika kucing anda tidak suka mandi, anda juga boleh mengelap tubuhnya menggunakan kain basah walaupun kesannya tidak seperti mandi.

5.   Perabot kucing sendiri
Jika kucing diberikan perabot lama miliknya, biasanya ia tidak akan mengganggu perabot anda yang lain. Saya memberi kucing saya set sofa kecil yang tidak lagi digunakan oleh anak kecil saya dan hasilnya, kucing saya tidak lagi mengganggu perabot saya yang lain.

6.   Kawal alahan dan kutu
Jika kucing anda diserang alahan atau kutu, ia akan menggaru dan ini akan mengakibatkan banyak bulu gugur. Ubat seperti Frontline atau Advantage dapat ‘menghalau’ kutu. Jika kucing anda sudah dijangkiti kutu, gunakan syampu kutu yang akan membunuh kutu dan juga telur-telurnya sekali. Selepas itu, gunakan serbuk borate powder untuk mengelak daripada jangkitan lanjutan. Jika ini semua tidak berkesan, bawa kucing ke klinik.

7.   Pemeriksaan kesihatan
Banyak penyakit yang boleh mengakibatkan bulu kucing gugur dan juga kulit menggelupas. Bawa kucing anda ke klinik dengan kerap bagi mencegah penyakit jenis ini.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

BATU KARANG


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Batu karang calcium oxalate merupakan batu karang yang paling kerap menyerang pundi air kencing. Ianya terkumpul pada saluran-saluran air kencing kucing dan merupakan sejenis galian atau mineral (minerals) yang dipanggil ‘calcium oxalate’.
Tidak ada sebarang punca yang pasti bagi batu karang jenis ini tetapi faktor-faktor yang berikut menyumbang kepada penghasilannya:
§  penyakit yang menyebabkan kadar kalsium dalam darah melonjak naik
§  kandungan oxalate yang berlebihan dalam air kencing
§  kandungan protein yang berlebihan
§  kandungan sodium yang berlebihan
§  pengambilan kalsium melalui pemakanan yang berlebihan
§  kandungan dadah jenis diuretics atau cortisone yang tinggi

Batu karang jenis calcium oxalate ini sering terdapat pada kucing yang berumur antara 5 hingga 14 tahun. Kucing jenis Himalayan, Persian dan Burmese lebih cenderung memperolehinya.


Petanda kehadiran batu karang
Terdapat beberapa petanda bagi kehadiran batu karang dan ada sesetengah kucing tidak menunjukkan sebarang petanda.
§  tidak boleh kencing
§  sakit apabila kencing
§  kencing dengan sedikit sahaja
§  lebih kerap kencing
§  perlu meneran ketika kencing
§  kesan darah pada air kencing
§  asyik menjilat kemaluan

Jika kucing anda menunjukkan petanda-petanda seperti di atas, bawanya ke klinik dengan segera supaya masalah batu karang ini dapat ditangani dengan cepat.


Kenal pasti dan rawatan doktor
Beberapa ujian boleh digunakan untuk mengenal pasti jika kucing mempunyai batu karang calcium oxalate. Ini termasuklah ujian air kencing, ultrasound dan x-ray.
Sejurus selepas kucing dikenal pasti mempunyai batu karang, rawatan akan bermula. Kucing betina yang bersaiz kecil mungkin dapat mengeluarkan batu karang dengan sendiri. Namun, ia tidak mungkin dapat mengeluarkan kesemua batu karang.
Rawatan bagi batu karang adalah seperti:
§  Lithotripsy – Gelombang kejutan (shock waves) digunakan untuk memecahkan batu karang
§  Urohydropulsion – Batu karang ‘ditolak’ keluar (flushed out) dengan menggunakan cecair sterile saline solution. Cara ini cuma berkesan jika batu karangnya adalah kecil dan terdapat di bahagian bawah sistem saluran air kencing (lower urinary tract).
§  Catheter retrieval – Sama seperti urohydropulsion, ia juga digunakan untuk batu karang yang kecil dan di bahagian bawah sistem saluran air kencing.
§  Pembedahan – Dalam kebanyakan kes, pembedahan diperlukan untuk menghapuskan batu karang.

Rawatan lain seperti ubat antibiotik dan cecair khas boleh digunakan jika perlu.


Rawatan di rumah
Adalah penting anda mengawasi kucing anda kerana batu karang merupakan sejenis keadaan yang boleh berulang. Jika kucing anda telah menjalani pembedahan untuk membuang batu karang, berikan ia rehat yang banyak dan pastikan tempat rehatnya kering dan bersih selalu bagi mengurangkan risiko penyakit.
Tukar makanan kucing kepada jenis yang mengandungi kandungan protin yang rendah dan serat (fiber) yang tinggi. Lebihkan makanan yang basah dan kurangkan makanan seperti biskut kering. Ini semua dapat membantu mengurangkan risiko batu karang berulang. Jika kurang pasti, dapatkan nasihat doktor.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

SAKIT MENTAL


Terdapat perbezaan pendapat sama ada kucing boleh menghidapi sakit mental atau tidak. Sesetengah saintis mengatakan otak kucing tidak cukup canggih untuk mengalami masalah mental yang serius. Walau apapun, kucing tetap boleh menderita penyakit yang melibatkan mentalnya seperti kemurungan dan stres.

Awasi kucing anda jika ia menunjukkan petanda-petanda berikut:
1.   Hilang selera makan
Kucing yang murung akan mengelak daripada makan dan boleh menjadi sangat kurus akibat ini. Kucing yang stres pun tidak mempunyai selera makan. Jika kucing anda tidak makan buat beberapa hari, ia mungkin sedang mengalami sakit pada mentalnya atau penyakit yang lain.

2.   Keletihan
Kucing yang murung juga tidak berminat untuk melakukan sebarang aktiviti dan akan banyak tidur.

3.   Bertindak ganas
Kelakuan ganas  secara tidak tentu pasal bukanlah sikap kucing yang normal. Jika kucing anda menjadi ganas tanpa sebarang sebab, anda harus dapatkan rawatan doktor. Ini mungkin petanda bagi penyakit anjing gila (feline rabies), penyakit-penyakit lain, stres atau mental kucing tidak stabil.
Walau bagaimanapun, jika kucing nampak ganas ketika bermain atau semasa melindungi kawasannya dari dicerobohi, ini ialah kelakuan normal dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

4.   Menyemburkan air kencing
Kucing yang sedang stres akan menyemburkan air kencingnya sekeliling rumah dan tidak akan menggunakan tempat khas untuknya membuang air (cat litter). Antara perkara yang boleh menyebabkan kucing menjadi stres adalah seperti perubahan pada persekitaran ataupun terdapat orang atau haiwan baharu di rumah.


Merawat kucing yang sakit
Kucing yang mengalami sakit mental memerlukan rawatan.
Kemurungan boleh dirawat dengan ubat anti-murung seperti Prozac atau Zoloft. Ubat yang paling mujarab adalah dengan anda sering bermain dengan kucing anda dan memberikan kasih sayang yang secukupnya.
Stres biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Dalam kes-kes yang serius, ubat penenang Valium mungkin diberikan kepada kucing. Ubat Valium ini mempunyai kesan sampingan dan kebanyakan doktor akan mengelak daripada menggunakannya kecuali jika betul-betul perlu. Stres boleh dirawat dengan memberi kucing anda lebih perhatian dan memberinya masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.
Aromaterapi atau terapi muzik (music therapy) juga boleh mententeramkan jiwa kucing dan mengurangkan stres.
Pastikan kucing anda mendapat senaman yang mencukupi. Ini dapat membantunya mengatasi kemurungan dan stres.

Pemakanan
Pastikan kucing anda mendapat diet yang seimbang (termasuk protein dan serat) agar mindanya sihat.
Vitamin yang tergolong dalam keluarga vitamin B (seperti B5, B6, B7 dan sebagainya) amat berkesan untuk mental. Anda boleh memberinya melalui pemakanan (oral) ataupun suntikan (dua bulan sekali).



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

BAHASA EKOR


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Seperti yang sedia maklum, kucing tidak boleh bercakap. Kalau kucing anda boleh bercakap, beritahu saya, sekarang juga akan saya beli daripada anda.
Namun, kucing tetap diberikan akal untuk menyuarakan maksud hatinya dengan cara yang tersendiri. Tahukah anda antara cara kucing berkomunikasi adalah melalui ekornya?


Berikut akan kita lihat apakah yang dimaksudkan oleh kucing melalui gaya ekornya:

1.    

§  Ekor kucing menurun ke bawah
§  Ia sedang berjaga-jaga bagi sebarang kemungkinan

2.    

§  Hujung ekor kucing sedang bergerak-gerak
§  Ia sedang berwaspada dan memeriksa keadaan sekeliling

3.    

§  Ekor kucing di bawah tubuhnya
§  Ia ingin dibelai dan dimanja

4.    

§  Ekor kucing lurus dan sama para dengan tubuhnya
§  Ia mungkin sedang bergaduh dan sekarang ingin berdamai

5.   
 
§  Ekor kucing lurus menegak dan bergerak-gerak
§  Ia ingin bergurau

6.    

§  Ekor kucing lurus ke bawah
§  Ia mungkin akan menjadi agresif – jauhinya!

7.    

§  Ekor berdiri tegak
§  Ia ingin berkawan

8.    

§  Ekor berdiri tegak tetapi bongkok di hujungnya
§  Ia ingin berkawan tetapi pada masa yang sama berwaspada

9.    

§  Ekor berdiri tegak dan bulu mengembang
§  Ia sangat marah dan sedang naik angin satu badan – lari jauh-jauh!

10.

§  Seluruh ekor dihayun ke kiri dan ke kanan
§  Ia sedang marah tetapi tidak terlalu marah

11.

§  Ekor berdiri tegak dan seluruh ekornya digerak-gerakkan
§  Ia gembira melihat anda

12.

§  Ekor separuh tegak
§  Ia sedang santai dan tidak akan mengancam sesiapa



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.