Sunday 13 November 2016

SAKIT MENTAL


Terdapat perbezaan pendapat sama ada kucing boleh menghidapi sakit mental atau tidak. Sesetengah saintis mengatakan otak kucing tidak cukup canggih untuk mengalami masalah mental yang serius. Walau apapun, kucing tetap boleh menderita penyakit yang melibatkan mentalnya seperti kemurungan dan stres.

Awasi kucing anda jika ia menunjukkan petanda-petanda berikut:
1.   Hilang selera makan
Kucing yang murung akan mengelak daripada makan dan boleh menjadi sangat kurus akibat ini. Kucing yang stres pun tidak mempunyai selera makan. Jika kucing anda tidak makan buat beberapa hari, ia mungkin sedang mengalami sakit pada mentalnya atau penyakit yang lain.

2.   Keletihan
Kucing yang murung juga tidak berminat untuk melakukan sebarang aktiviti dan akan banyak tidur.

3.   Bertindak ganas
Kelakuan ganas  secara tidak tentu pasal bukanlah sikap kucing yang normal. Jika kucing anda menjadi ganas tanpa sebarang sebab, anda harus dapatkan rawatan doktor. Ini mungkin petanda bagi penyakit anjing gila (feline rabies), penyakit-penyakit lain, stres atau mental kucing tidak stabil.
Walau bagaimanapun, jika kucing nampak ganas ketika bermain atau semasa melindungi kawasannya dari dicerobohi, ini ialah kelakuan normal dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

4.   Menyemburkan air kencing
Kucing yang sedang stres akan menyemburkan air kencingnya sekeliling rumah dan tidak akan menggunakan tempat khas untuknya membuang air (cat litter). Antara perkara yang boleh menyebabkan kucing menjadi stres adalah seperti perubahan pada persekitaran ataupun terdapat orang atau haiwan baharu di rumah.


Merawat kucing yang sakit
Kucing yang mengalami sakit mental memerlukan rawatan.
Kemurungan boleh dirawat dengan ubat anti-murung seperti Prozac atau Zoloft. Ubat yang paling mujarab adalah dengan anda sering bermain dengan kucing anda dan memberikan kasih sayang yang secukupnya.
Stres biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Dalam kes-kes yang serius, ubat penenang Valium mungkin diberikan kepada kucing. Ubat Valium ini mempunyai kesan sampingan dan kebanyakan doktor akan mengelak daripada menggunakannya kecuali jika betul-betul perlu. Stres boleh dirawat dengan memberi kucing anda lebih perhatian dan memberinya masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.
Aromaterapi atau terapi muzik (music therapy) juga boleh mententeramkan jiwa kucing dan mengurangkan stres.
Pastikan kucing anda mendapat senaman yang mencukupi. Ini dapat membantunya mengatasi kemurungan dan stres.

Pemakanan
Pastikan kucing anda mendapat diet yang seimbang (termasuk protein dan serat) agar mindanya sihat.
Vitamin yang tergolong dalam keluarga vitamin B (seperti B5, B6, B7 dan sebagainya) amat berkesan untuk mental. Anda boleh memberinya melalui pemakanan (oral) ataupun suntikan (dua bulan sekali).



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment