Thursday 3 November 2016

CARA MENGANGKAT KUCING YANG SAKIT

Adakalanya kucing yang sakit atau lebih teruk jika ia benar-benar sakit teruk, ia tidak akan mampu berdiri sendiri dan asyik terbaring sepanjang hari.
Apabila anda ingin menghantarnya ke klinik, anda mestilah tahu cara mengangkatnya agar anda tidak menyebabkan kesakitan bertambah buruk. Semasa mengangkat, anda perlu ingat akan lima senjata kucing iaitu mulut dan keempat-empat kakinya yang mempunyai kuku yang tajam. Apabila kucing sedang sakit, ia tidak akan teragak-agak menggunakan senjata-senjatanya jika ia merasakan dirinya terancam.

Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk mengangkat kucing yang sedang sakit:

Sekiranya kucing boleh diangkat:
Langkah 1:           Jika kucing memberikan kerjasama, cuba peluk kucing sebagaimana anda memeluk bayi. Letak kucing ke dalam carrier atau kotak yang tertutup dan bawa ke klinik.

Langkah 2:           Jika kucing kurang memberi kerjasama dan anda pula tidak dibantu sesiapa, selimutkan kucing dengan tuala atau kain selimut. Pastikan keempat-empat tapak kakinya diselimutkan juga.
                                       Letak kucing ke dalam carrier atau kotak yang tertutup dan bawa ke klinik.


Sekiranya kucing memerlukan stretcher:
-         Anda boleh menggunakan sama ada kain selimut, papan yang rata ataupun kadbod yang keras untuk dijadikan sebagai stretcher.

Jika anda menggunakan kain selimut, sila ikuti langkah berikut:
Langkah 1:           Sekiranya anda menggunakan kain selimut, letakkan satu daripada tangan anda di bawah dada kucing dan yang lagi satu di bawah punggung kucing. Dengan berhati-hati, angkat kucing dan letakkan di atas kain selimut.

Langkah 2:           Genggam kedua-dua hujung kain selimut dan angkat kucing dengannya. Pastikan anda menarik kain selimut dengan kuat agar ia menjadi seperti stretcher dan mampu menampung berat badan kucing.

Langkah 3:           Bawa kucing ke klinik dengan segera.


Jika anda menggunakan papan atau kadbod keras:
Langkah 1:           Letakkan 2 atau 3 helai kain panjang dengan kelebaran kira-kira 1 inci (2.5 sentimeter) di bawah papan atau kadbod tersebut. Ini akan digunakan sebagai tali pengikat.

Langkah 2:           Letakkan satu tangan anda di bawah dada kucing sementara satu lagi di bawah punggungnya.
                                       Angkat dengan berhati-hati dan alihkan kucing ke atas papan atau kadbod.

Langkah 3:           Ikat kucing pada kadbod untuk mengelaknya daripada terjatuh menggunakan kain yang diletak di bawah papan atau kadbod tadi.

Langkah 4:           Bawa kucing ke klinik dengan segera.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment