Wednesday 2 November 2016

TAHAP PERTUMBUHAN KUCING SEHINGGA UMUR SATU TAHUN

Seperti juga manusia, kucing akan melalui beberapa fasa atau peringkat dalam pertumbuhannya. Dari hari pertama kucing lahir ke dunia sehingga ia berumur satu tahun merupakan masa yang menunjukkan perbezaan yang ketara. Mari kita lihat apa yang akan berlaku kepada kucing sehingga ia berumur satu tahun. Apabila kita dapat mengesan perubahan-perubahan ini, maka ia dapat memudahkan kita menangani masalah yang mungkin timbul.

Hari pertama hingga 6 minggu
Waktu ini kucing akan menumpukan sepenuh perhatian kepada dua hobi terpentingnya iaitu – main dan makan. Anda harus memastikan kucing diberi makanan yang berzat kerana pemakanan yang betul akan membantu kucing membesar dengan sihat. Semenjak ia dilahirkan sehingga umurnya lima bulan, kucing mampu membesar sehingga 20 kali ganda!
Jika boleh, pastikan kucing mendapat susu ibunya pada peringkat ini. Jika susu sukar diperolehi, barulah anda boleh menggantikannya dengan susu bagi anak kucing yang mudah didapati di kedai-kedai yang menjual keperluan binatang peliharaan.
Walaupun anda memberi kucing minum susu, jangan terperanjat jika kucing anda tidak mahu minum susu dan sebaliknya inginkan makanan. Ini adalah sebahagian daripada proses pembesaran di mana kucing akan mengurangkan pergantungannya kepada susu.

6 minggu hingga 12 minggu
Pada usia sebegini kucing anda akan mula nakal dan tahap keaktifannya mungkin tidak terkawal. Pada peringkat ini, kucing memerlukan protein untuk membantu ia membesar. Jika anda mendapati makanan yang anda berikan kepada kucing anda mempunyai perkataan taurine, ini bermakna anda telah memberikan kucing anda protein.
Taurine merupakan jenis protein yang amat diperlukan oleh kucing setiap hari. Kekurangan bahan ini boleh mengakibatkan mata menjadi kabur dan akhirnya buta. Ia juga boleh mengakibatkan beberapa penyakit lain seperti masalah jantung dan sistem saraf. Secara amnya, para saintis mencadangkan agar kucing diberi 1 gram taurine bagi setiap 1 kilogram makanan kering dan dua kali ganda bagi makanan basah (dalam tin).

12 minggu hingga 14 minggu
Para peringkat ini, tahap kecergasan kucing main menjadi-jadi. Pada masa ini, anda terpaksa ‘mengorbankan’ harta anda sedikit kerana kemungkinan besar kucing anda akan terlanggar barang perhiasan rumah anda ketika ia terlompat-lompat dan berlari-lari di dalam rumah anda. Jangan bilang saya tidak beritahu!
Oleh kerana kucing sangat aktif pada peringkat ini, pastikan kucing diberi karbohidrat yang secukupnya untuk memberikannya tenaga.

6 bulan hingga 12 bulan
Badan kucing sudah membesar dan ia kelihatan seolah-olah seperti kucing dewasa. Ada kemungkinan tahap keaktifan kucing akan berkurangan kerana kucing kini sudah lebih berat. Jika kucing anda kelihatan kecil pada usia ini, besar kemungkinan itu merupakan saiznya untuk keseluruhan hidupnya.
Tubuh kucing dan juga tulang-tulangnya akan menjadi lebih kuat dan ini adalah masa yang sesuai jika anda ingin menyunatkan/mengembiri kucing anda.

1 tahun

Pada usia ini anda boleh dibelikan kucing anda kek hari jadi kerana ia sudah dianggap dewasa.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment