Sunday 6 November 2016

CARA PUJUK KUCING YANG SAKIT MAKAN

Sama seperti manusia, kucing yang tidak sihat juga akan kurang selera makan. Sebagai pemilik kucing, sudah tentu kita akan risau jika kucing kesayangan kita tidak mahu makan atau minum.
Adalah penting untuk kucing yang sakit untuk makan dan minum. Ini bagi menambah tenaga dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Berikut adalah beberapa cara mudah yang dapat anda lakukan untuk membantu mengembalikan selera makan kucing anda:
§  Makanan yang kuat baunya
Adalah menjadi satu fakta bahawa kucing amat menggemari makanan yang kuat baunya. Makanan seperti ikan tuna, sardin dan pilchards akan menarik perhatian kucing anda. Lebih-lebih lagi makanan dalam tin di mana telah ditambah dengan bahan-bahan lain yang akan melazatkannya lagi. Mmmm... sedap hingga menjilat jari!

§  Panaskan sedikit makanannya
Jika anda suka makan sup panas dan kuah panas ketika sakit, kucing pun akan lebih berselera untuk makan jika makanan dipanaskan sedikit.
Panaskan makanan kucing anda dan biarkan ia sejuk sehingga suam-suam kuku sebelum memberinya kepada kucing anda untuk dimakan. Bagi sesetengah kucing, anda hanya perlu beri makanan yang telah disuamkan untuk mereka kembali kepada nasfu makan yang normal.

§  Bantu kucing anda makan
Kucing yang sakit teruk dan tidak bermaya setelah beberapa hari tidak makan perlu dibantu untuk makan. Apa yang ada boleh lakukan adalah letakkan sedikit makanan pada sudu teh (teaspoon) atau sudu yang kecil – sebesar mulut kucing anda. Jika mulut kucing anda sebesar mulut singa, terpaksalah anda gunakan senduk.
Suapkan kucing anda sedikit demi sedikit. Jika doktor telah memberi makanan khas yang berbentuk cecair kepada kucing anda, anda boleh gunakan alat khas seperti suntikan (syringe) atau dropper untuk dimasukkan ke dalam mulut kucing secara perlahan-lahan.

Walau apapun cara yang anda gunakan untuk memberi kucing anda makan, yang penting adalah kucing anda harus makan dan minum walau sedang sakit. Jika kucing anda tetap tidak mahu makan atau minum, bawa segera ke klinik.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment