Monday 7 November 2016

SEBELUM ANDA BAWA KUCING KE KLINIK

Sama seperti doktor manusia, doktor haiwan merupakan individu yang tidak kurang sibuknya. Oleh itu, sebelum anda menghantar kucing anda ke klinik haiwan bagi pemeriksaan, terlebih dahulu anda boleh melakukan beberapa perkara seperti di bawah. Tujuannya adalah bagi membantu mempercepatkan proses mengenal pasti sebarang masalah yang kucing anda sedang alami.

1.   Adakah kucing anda minum dan makan secara normal?
a)   Ya                         b) Tidak
Kebanyakan kucing yang sakit tidak mahu makan walau sedikit pun dan ini boleh membawa kepada kekurangan cecair tubuh (dehydration) dan beberapa masalah kesihatan yang lain. Doktor haiwan perlu mengetahui jika kucing anda tidak mahu makan.
Pada masa yang sama, jika kucing anda tiba-tiba mempunyai selera makan yang luar biasa, mungkin terdapat masalah pada kelenjar tiroid (thyroid gland).
Kehausan pula boleh menandakan pelbagai masalah seperti kencing manis dan buah pinggang yang telah rosak.

2.   Adakah kucing anda buang najis dan kencing secara normal?
a)   Ya                        b) Tidak
Adakah kucing anda meneran semasa membuang najis atau kencing? Adakah najisnya kelihatan hitam pekat? Adakah kucing anda cirit-birit? Adakah dapat benda yang luar biasa ataupun seakan cacing pada najisnya?
Pastikan anda membawa contoh najis dan air kencing kucing anda semasa pergi ke klinik.

3.   Adakah kucing anda muntah?
a)   Ya                        b) Tidak
Doktor haiwan perlu tahu jika kucing anda muntah beberapa kali dalam sehari. Lebih-lebih lagi jika ia berlanjutan sehingga lebih dari 24 jam.
Semasa kucing anda muntah, apakah warnanya? Adakah terdapat ketulan makanan yang tidak hadam pada muntahnya? Adakah terdapat gumpalan bulu? Adakah muntahnya sangat berair?

4.   Bagaimanakah mood kucing anda?
a)   O.K.                      b) Tidak O.K.
Jika kucing anda biasanya manja dengan haiwan lain, adakah ia kini semesra dibanding dahulu? Apakah perbezaan lain pada mood kucing anda yang anda dapati sudah berubah?

5.   Bagaimanakah bulu kucing anda?
a)   O.K.                      b) Tidak O.K.
Adakah bulu kucing anda yang biasanya berkilat kini kelihatan pucat? Keadaan bulu kucing merupakan petanda yang baik bagi menentukan sama ada keperluan khasiat makanannya (nutritional needs) mencukupi atau tidak.

6.   Adakah berat badan kucing anda menurun atau naik kebelakangan ini?
a)   Ya                        b) Tidak
Kenaikan atau penurunan berat badan yang mendadak merupakan alasan yang kuat bagi anda untuk membawa kucing anda ke klinik bagi pemeriksaan lanjut.

7.   Bagaimanakah pernafasannya?
a)   Normal                 b) Tidak Normal
Adakah kucing anda bernafas dengan laju? Adakah ia mengeluarkan bunyi yang tidak normal ketika bernafas? Adakah ia kelihatan susah untuk bernafas? Adakah hidungnya meleleh dengan hingus?

8.   Adakah terdapat benjolan atau bengkak pada tubuhnya?
a)   Ya                        b) Tidak
Belai tangan anda ke seluruh tubuh kucing bagi merasakan mana-mana bahagian yang terdapat benjolan atau bengkak. Anda boleh juga lakukan proses ini dengan hanya melihat sahaja tapi menggunakan tangan adalah lebih baik.
Lebih-lebih lagi periksa pada bahagian leher dan perutnya. Jika kucing anda berwarna putih, perhatikan juga jika terdapat perbezaan pada muka, telinga dan tekaknya. Kucing berwarna putih lebih mudah mendapat barah kulit (skin cancer).

9.   Adakah kucing anda terdedah pada mahluk parasit (parasites)?
a)   Ya                        b) Tidak
Pernahkah anda membiarkan kucing terbiar (stray cat) bergaul dengan kucing anda sering merayau ke luar rumah? Jika kucing anda terdedah kepada kucing-kucing liar yang terdapat di luar rumah, risiko kucing anda dijangkiti mahluk parasit adalah tinggi.
Walau apapun, pastikan anda membawa contoh najis kucing anda ke klinik bagi proses mengenal pasti penyakitnya.

10.         Bagaimanakah bau mulut kucing anda?
a)   Wangi                  b) Busuk
Sudah tentu mulut kucing anda akan berbau. Mana ada bau mulut yang wangi kecuali jika kucing anda baru sahaja minum sebotol minyak wangi. Persoalannya adalah sama ada baunya itu ‘terlebih busuk’.
Gigi dan gusi yang rosak serta kencing manis akan membantu membusukkan bau mulut kucing anda itu.

11.        Adakah terdapat sebarang perbezaan ketara kepada kucing anda?
a)   Ya                        b) Tidak
Adakah kucing anda tiba-tiba menjadi lembik dan bermaya ataupun ia kini sangat agresif? Adakah terdapat sebarang gangguan emosi pada kucing anda?
Perkara-perkara seperti pindah ke rumah baharu, mendapat kawan baharu ataupun jika anda bergaduh dengan teman hidup anda sekalipun akan secara tidak langsung mengganggu emosi kucing anda. Jika gangguan emosi ini berlanjutan, rawatan doktor harus segera disusuli.

Itulah tadi beberapa perkara yang harus anda jawapan sebelum anda membawa kucing anda ke klinik. Harap soalan-soalan ini akan membantu doktor haiwan mengenal pasti dengan lebih tepat lagi sebarang masalah yang kucing anda mungkin sedang alami.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment