Sunday 6 November 2016

JIKA KUCING KERACUNAN

Sekiranya terdapat bekas yang berisi bahan kimia di rumah anda, secara sengaja atau tidak, kucing anda mungkin melanggarnya menyebabkan kandungannya tumpuh jika tidak ditutup dengan baik.
Apabila bahan kimia ini terkena pada tapak kaki kucing, kucing secara semula jadi akan membersihkan tapak kakinya dan caranya adalah dengan menjilat tapak kaki. Ketika melakukan ini, kucing secara tidak langsung akan menelan bahan kimia yang terdapat di tapak kakinya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kucing untuk memastikan segala bekas yang berisi bahan kimia ditutup dengan rapi dan diletakkan di tempat yang jauh daripada kucing.
Beberapa petanda kucing keracunan adalah seperti air liur meleleh dengan banyak, muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut, sawan, koma dan badannya mungkin berbau bahan kimia.

Sekiranya kucing anda keracunan:
Langkah 1:           Sekiranya kucing koma atau sawan, bungkuskan tubuhnya dengan selimut dan bawa ke klinik dengan segera. Bawa bersama anda benda atau cecair yang telah membuatnya keracunan.
Langkah 2:           Jika terdapat bau racun atau bahan kimia pada tubuh kucing, mandikan kucing dengan menggunakan syampu kucing atau sabun (mild soap) sehingga bau hilang. Kucing akan tetap menjilat tempat yang terkena racun atau bahan kimia selagi ia tidak dicuci. Anda juga harus mencuci mulutnya sekali untuk mengelakkan kucing daripada tertelan bahan kimia yang mungkin terdapat di sekitar mulutnya.
Langkah 3:           Andai kata kucing belum muntah dan anda pasti punca keracunan bukan diakibatkan oleh bahan caustic atau produk daripada petroleum, rangsang kucing untuk muntah dengan memberikan ia minum satu sudu teh tiga peratus hydrogen peroxide setiap 10 minit sehingga ia mula muntah. Jangan beri lebih daripada satu sudu teh setiap 10 minit.
                                       Jika kucing tidak mahu minum cecair tiga peratus hydrogen peroxide yang anda cuba berikan, hentikan usaha anda dan bawa kucing ke klinik dengan segera.

Bahan caustic adalah bahan yang boleh menyebabkan hakisan (corrosion) dan contohnya adalah seperti air bateri, sabun cuci baju, cecair bagi paip tersumbat, pembersih gris (grease remover), dan bahan kimia pencuci dapur.
Produk daripada petroleum pula seperti cat dan penggilap lantai (floor wax).
Beberapa bahan lain yang boleh mengakibatkan keracunan adalah seperti minuman beralkohol, bahan pemutih kain (bleach), coklat (lebih-lebih lagi coklat yang digunakan untuk masakan atau membuat kuih), sabun pencuci pinggan mangkuk, baja, penggilap perabot (furniture polish), minyak petrol, glu, kapur barus, racun tikus, bawang putih dan merah, penggilap kasut (shoe polish), penggilap perak (silver polish seperti Autosol), pencuci mangkuk tandas dan banyak lagi.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment