Wednesday 9 November 2016

7 PETANDA KUCING SEDANG MENGANDUNG


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Kucing yang sedang mengerang (untuk mengawan) atau apa yang dipanggil ‘in heat’ atau ‘oestrus’,  besar kemungkinan akan mengawan dan menjadi hamil.

Petanda kucing hamil kelihatan melalui perubahan pada perangai dan fizikal kucing. Kehamilan kucing mengambil masa dalam sembilan minggu (60 hingga 67 hari) dan petandanya dapat dilihat bermula dari minggu kedua atau ketiga.

Beberapa petanda kucing anda sedang hamil:
1.   Kucing tidak lagi mengerang untuk mengawan
Jika kucing anda biasanya mengerang (untuk mengawan) setiap dua minggu sekali dan tiba-tiba ia tidak lagi mengerang pada waktu yang biasanya ia mengerang, kucing anda mungkin sedang hamil.
         
2.   Puting bengkak
Ini merupakan antara petanda paling awal bagi kucing yang mengandung. Putingnya akan bengkak dan bertukar warna menjadi merah jambu. Kucing juga amat sensitif apabila disentuh.

3.   Nafsu makan meningkat
Ibu kucing akan makan lebih banyak daripada biasa kerana kandungannya menggunakan sebahagian daripada zat makanan yang dimakan oleh si ibu kucing.

4.   Terlebih manja
Kucing yang hamil akan menjadi lebih manja terhadap orang-orang yang disukainya. Antara lain, ia akan menggeselkan badannya di kaki anda, barang permainan, haiwan peliharaan lain mahupun perabot di rumah. Ia juga akan meminta untuk dibelai.

5.   Sering muntah
Sama seperti manusia, kucing pun mengalami apa yang dipanggil ‘morning sickness’ dan sering muntah.

6.   Perut membesar
Walaupun ini bukan merupakan petanda awal, anda akan dapati perut kucing akan membuncit bermula pada minggu keempat atau lima kehamilan.

7.   Ingin bersendiri
Apabila waktu bersalin hampir tiba, ibu kucing akan mencari tempat untuk melahirkan. Tempat yang paling sesuai merupakan satu sudut yang senyap dan tidak dilihat oleh ramai orang di mana ia boleh bersembunyi dengan aman.

Ketujuh-tujuh petanda ini sudah cukup memberitahu anda bahawa kucing anda itu sedang mengandung. Anda tidak perlu menghantar kucing ke doktor untuk pemeriksaan sepanjang kehamilannya melainkan ada sesuatu yang tidak kena (seperti muntah dengan terlalu kerap dan banyak).
Doktor haiwan biasanya dapat menentukan kehamilan selepas dua hingga tiga minggu menerusi ultrasound ataupun dengan memeriksa perut kucing. Setelah anda memastikan kucing anda hamil, pastikan anda memberi lebih perhatian kepadanya, memberi makanan yang berzat secukupnya dan juga memberinya lebih kasih sayang.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment