Sunday 6 November 2016

JIKA KUCING TIDAK SEDARKAN DIRI

Banyak perkara yang boleh mengakibatkan kucing tidak sedarkan diri. Di sini saya akan beri sedikit tip tentang apa yang boleh anda lakukan sebelum menghantar kucing ke klinik. Perbuatan anda ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa kucing!


Sekiranya kucing tidak sedarkan diri:
Langkah 1:           Periksa mulut kucing jika ia tercekik sesuatu.

Langkah 2:          Sekiranya kucing bernafas, periksa untuk petanda kejutan. Periksa gusi dan bahagian atas mulut kucing. Kucing yang mengalami shock gusinya akan menjadi pucat dan keputihan.

Langkah 3:        Rasa denyutan jantung kucing dengan meletakkan jari anda satu inci di belakang siku kucing dan di tengah dadanya.

Langkah 4:           Jika jantung kucing tidak berdegup, berikan CPR. Jika ia berdegup, lakukan bantuan pernafasan.

Bantuan pernafasan – sekiranya jantung masih berdegup:

Langkah 5:          Sekiranya jantung kucing tidak berdegup, terus pergi ke Langkah 6 di bawah. Sekiranya jantungnya masih berdegup, lakukan bantuan pernafasan.
                                       Baringkan kucing ke kiri atau ke kanan.
                                       Tarik sedikit bahagian kepala atau lehernya. Tutup mulut dan bibir kucing. Tiupkan udara dengan sederhana kuat melalui hidung kucing (tiup dengan mulut anda sendiri, jangan pula anda pakai pam angin!).
                                      Lakukan ini sekali setiap 5 saat. Setelah 10 saat, berhenti. Lihat pada dada kucing sama ada ia sudah mula bernafas dengan sendiri.
                                      Jika kucing masih tidak bernafas dengan sendiri, ulang proses di atas sehingga anda dapat rasakan sedikit kesukaran semasa meniup ke dalam hidungnya atau jika anda dapati dada kucing mula naik akibat udara yang anda hembuskan kepadanya.
                                      Jika kucing sudah boleh bernafas dengan sendiri, anda sudah boleh berhenti. Tetapi jika ia masih tidak boleh bernafas dengan sendiri setelah beberapa lama anda membantunya, bawa ke klinik dengan segera. Semasa perjalanan ke klinik, pastikan anda tetap memberi bantuan pernafasan kepadanya.

CPR – sekiranya jantung tidak berdegup:

Langkah 6:      Sekiranya jantung kucing tidak berdegup, anda harus melakukan CPR.
                                      Baringkan kucing ke kiri atau ke kanan.
                                      Posisikan diri anda pada hadapan kepala kucing.
                                      Genggam dada kucing dan pastikan telapak tangan anda menutupi bahagian dada kucing. Selanjutnya letakkan ibu jari dan jari-jemari anda pada bahagian tengah dada.
                                      Beri tekanan yang sederhana kuat dengan menggenggam ibu jari dan jari-jemari anda. Ini ibarat anda memicit-micit dada kucing. Genggam pada kadar 100 hingga 160 tekanan seminit (ataupun dalam dua hingga tiga genggaman sesaat).
                                      Selepas 30 saat, berhenti. Tutup mulut dan bibir kucing dan tiup dengan sederhana kulat ke dalam hidung kucing.
                                      Tiup selama tiga saat, selepas itu berhenti dan tarik nafas sebelum tiup semula. Lakukan sehingga dada kucing turun naik dengan sendiri atau anda mengalami sedikit kesukaran untuk meniupkan udara ke dalam hidung kucing. Kesukaran ini akibat kucing yang sudah mula bernafas dengan sendiri. Ulangi hingga 10 atau 20 kali seminit.
                                      Selepas satu minit, berhenti. Lihat jika kucing sudah boleh bernafas sendiri dan rasakan jika jantung kucing sudah mula berdenyut (letakkan jari anda satu inci di belakang siku kucing dan di tengah dadanya untuk merasakan denyutan jantung).
                                      Jika jantung kucing masih belum berdenyut, ulangi CPR. Jika jantung sudah mula berdenyut tapi kucing masih belum bernafas, lakukan bantuan pernafasan (lihat Langkah 5 di atas).

Langkah 7:           Bawa kucing ke klinik dengan segera. Teruskan memberi CPR atau bantuan pernafasan sepanjang perjalanan ke klinik atau sehingga kucing sudah boleh bernafas dengan sendiri dan jantungnya sudah boleh berdegup tanpa bantuan.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment