Thursday 10 November 2016

VITAMIN DAN GALIAN YANG PENTING


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Bagi kucing yang kekurangan vitamin, anda disyorkan untuk memberinya pil vitamin. Ia mudah didapati di kedai-kedai yang menjual keperluan haiwan (pet shop). Namun, kucing yang sihat pun boleh mendapat manfaat daripada pil vitamin ini.
Makanan kucing yang dijual di pasaran selalu kekurangan beberapa vitamin dan galian/mineral (minerals) yang penting. Walaupun tertera di label makanan, vitamin dan galian ini hilang keberkesanan semasa pemprosesan makanan tersebut.


Antara vitamin dan galian yang penting bagi kucing adalah seperti:
1.   Vitamin mudah larut (bersama air)
Vitamin yang mudah larut bersama air (water-soluble vitamins) senang diserap atau dibuang oleh tubuh melalui air kencing tanpa membahayakan kucing. Vitamin daripada keluarga B seperti vitamin B1 (thiamine) mudah larut dalam air dan membantu menguatkan sistem pertahanan tubuh. Kekurangan vitamin jenis ini boleh menyebabkan kucing cenderung untuk mendapat penyakit, luka sembuh dengan lambat, lemah badan atau sistem refleksi tubuh (reflex action) yang perlahan.
Vitamin C pula  membantu menghasilkan collagen yang bertanggungjawab untuk tubuh yang sihat. Vitamin lain yang larut bersama air adalah seperti folic acid (vitamin B9), biotin (vitamin B7), choline, niacin (vitamin B3) dan riboflavin (vitamin B2).

2.   Vitamin mudah larut (bersama lemak)
Vitamin A, D, E dan K merupakan jenis vitamin yang mudah larut bersama lemak. Vitamin-vitamin ini terkumpul pada tisu-tisu lemak. Jika diambil secara berlebihan, vitamin-vitamin ini akan mendatangkan mudarat. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi kucing anda vitamin jenis ini.
Vitamin A selalu disyorkan sebagai makanan tambahan (supplement) kerana tubuh kucing tidak mampu menukar beta-carotene yang terdapat pada makanan yang dimakan kepada vitamin A secara semula jadi. Kekurangan vitamin A menyebabkan masalah kulit, bulu dan rabun malam (night blindness).

3.   Zat besi (Iron)
Walaupun kucing tidak memerlukan galian pada kadar yang banyak, kekurangan zat besi boleh menyebabkan kucing menjadi sangat lemah.

4.   Kalsium (Calcium)
Kalsium adalah bahan penting yang harus diambil oleh kucing yang mengandung dan juga yang sedang menyusukan anaknya. Kalsium membantu dalam proses penghasilan susu. Diet yang kaya dengan kalsium adalah baik bagi kesihatan kucing.

5.   Magnesium
Magnesium membantu mengimbangi fungsi tubuh dan juga menghindarkan daripada beberapa jenis penyakit. Ia juga membantu dalam penyerapan kalsium ke dalam tubuh. Jika anda memberi kucing anda makan pil kalsium, pastikan anda memberinya magnesium juga.

Kandungan magnesium dan kalsium yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan juga jangkitan pada saluran kencing kucing jantan.

6.   Potassium, sodium dan chloride
Ini semua merupakan galian yang mengelakkan kucing daripada kekurangan cecair dalam tubuh. Kucing sakit yang mengalami muntah amat disyorkan untuk mengambil cecair dan makanan tambahan yang mempunyai galian seperti potassium, sodium dan chloride bagi mengimbangi kadar cecair dalam tubuh.

Nota:
Sekiranya kucing anda tidak mahu mengambil makanan tambahan dalam bentuk pil atau kapsul, anda tidak perlu lagi risau kerana sekarang terdapat dalam bentuk cecair yang mudah untuk digaulkan bersama makanan kucing anda.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment