Monday 7 November 2016

'CAT SHOCK' BOLEH MEMBUNUH

Sejenis keadaan yang dipanggil cat shock amat berbahaya kepada kucing. Malahan ia adalah pembunuh nombor satu bagi kucing. Kemalangan, trauma, luka yang teruk, keracunan, alahan (allergy), penyakit yang berpanjangan, heatstroke dan kehilangan darah boleh mengakibatkan cat shock. Adalah penting bagi anda mengenal pasti petanda-petanda cat shock bagi menyelamatkan nyawa kucing anda.
Cat shock merupakan tindak balas tubuh akibat kesan darah pendarahan (dalaman atau luaran) ataupun akibat sebarang pendarahan yang banyak. Apabila berlaku pendarahan yang banyak, jantung akan berdegup dengan lebih pantas bagi menstabilkan tekanan darah secara keseluruhan. Pembuluh-pembuluh darah tertentu akan turut mengecil bagi memastikan kuantiti darah yang mencukupi dapat dihantar ke organ-organ tubuh yang lebih memerlukan darah.
Sekiranya kehilangan darah ini terlalu banyak atau terdapat kecederaan lain yang serius, tubuh kucing akan memberi tindak balas luar biasa (overreact) dan ini mengakibatkan limpahan darah pada organ dalaman. Ini boleh membawa maut akibat daripada penurunan tekanan darah dan juga kekurangan oksigen di otak.


Sekiranya kucing mengalami cat shock atau luka teruk:
Langkah 1:           Angkat bibir kucing pada bahagian atas sehingga kelihatan gusi. Gusi yang pucat atau putih menandakan kucing mengalami cat shock ataupun terdapat pendarahan atau luka dalaman yang teruk.
                                       Sekiranya anda menekan gusinya dengan jari anda, ia akan menjadi putih dan akan mengambil masa yang agak lama (dua saat atau lebih) untuk bahagian gusi tersebut diisi dengan darah sejurus selepas anda melepaskan jari anda. Gusi kucing yang normal sepatutnya berwarna merah jambu.




Langkah 2:           Senget dan baringkan kucing di atas selimut atau tuala.

Langkah 3:           Pastikan saluran pernafasan kucing tidak tersekat. Pastikan mulut kucing terbuka sepanjang masa bagi memudahkan ia bernafas.

Langkah 4:           Tinggikan sedikit bahagian kaki belakang kucing dengan meletakkan bantal atau tuala yang dilipat di bawahnya. Tujuannya adalah untuk memastikan kepalanya berada lebih rendah daripada bahagian tubuhnya yang lain.

Langkah 5:           Jika boleh, hentikan pendarahannya.

Langkah 6:           Untuk mengekalkan suhu, selimutkan kucing. Kucing yang mengalami cat shock akan menurun suhu badannya (hypothermia). Kaki dan tapak kakinya akan terasa sejuk jika anda menyentuhnya. Fungsi selimut adalah bagi mengembalikan suhu normal kucing iaitu pada kadar 39o Celcius.

Langkah 7:           Bawa kucing ke klinik dengan segera.





Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment