Sunday 6 November 2016

JIKA KUCING TERHIDU ASAP ATAU GAS KARBON MONOKSIDA

Asap dan gas karbon monoksida sering berlegar di udara dan amat sukar untuk mengawalnya. Jika kucing menghidunya dengan kadar yang banyak, masalah serius akan berlaku.
Gas karbon monoksida merupakan jenis gas yang dikeluarkan oleh semua enjin (kereta, lori, bas dan sebagainya) yang menggunakan minyak petrol atau diesel sebagai bahan pembakar. Keracunan disebabkan gas karbon monoksida biasanya berlaku atas kecuaian kita sendiri, lebih-lebih lagi jika kita meletakkan kucing di dalam but kereta dan kereta pula dibiarkan dengan enjinnya hidup tanpa ia bergerak. Perbuatan ini amat berbahaya!
Petanda kucing keracunan gas karbon monoksida adalah seperti kemurungan (depression), hilang kawalan pergerakan (lack of coordination), tercungap-cungap, gusi menjadi merah gelap dan mungkin sawan.
Periksa untuk petanda shock. Periksa gusi dan bahagian atas mulut kucing. Kalau bagi kucing yang mengalami kejutan, gusinya akan menjadi pucat dan keputihan.

Sekiranya anda mengesyaki kucing telah terhidu asap atau gas karbon monoksida lakukan perkara berikut:
Jika kucing sedarkan diri
Langkah 1:           Pindahkan kucing ke tempat yang mempunyai udara yang bersih.

Langkah 2:           Cuci biji mata kucing dengan menggunakan air bersih atau cecair saline solution.

Langkah 3:           Bawa kucing ke klinik dengan segera.



Jika kucing tidak sedarkan diri
Langkah 1:           Pindahkan kucing ke tempat yang mempunyai udara yang bersih.

Langkah 2:           Sekiranya kucing tidak bernafas, rasakan degupan jantung dengan meletakkan jari anda kira-kira satu inci di belakang siku kucing dan di tengah dadanya.

Langkah 3:           Jika anda tidak merasakan nadi kucing, ini bermakna jantung kucing tidak berdegup – pergi ke Langkah 5.
                                       Namun jika jantungnya berdegup (anda dapat rasakan nadinya), lakukan bantuan pernafasan (artificial respiration).

Langkah 4:           Baringkan kucing ke kiri atau ke kanan.
                                       Tarik sedikit bahagian kepala atau lehernya. Tutup mulut dan bibir kucing. Tiupkan udara dengan sederhana kuat melalui hidung kucing (tiup dengan mulut anda sendiri, jangan pula anda pakai pam angin!).
                                      Lakukan ini sekali setiap 5 saat. Setelah 10 saat, berhenti. Lihat pada dada kucing sama ada ia sudah mula bernafas dengan sendiri.
                                      Jika kucing masih tidak bernafas dengan sendiri, ulang proses di atas sehingga anda dapat rasakan sedikit kesukaran semasa meniup ke dalam hidungnya atau jika anda dapati dada kucing mula naik akibat udara yang anda hembuskan kepadanya.
                                      Jika kucing sudah mampu bernafas dengan sendiri, anda sudah boleh berhenti. Tetapi jika ia masih tidak boleh bernafas dengan sendiri setelah beberapa lama anda membantunya, bawa ke klinik dengan segera. Ketika perjalanan ke klinik, pastikan anda tetap memberi bantuan pernafasan kepadanya.

Langkah 5:           Sekiranya jantung kucing tidak lagi berdegup, anda harus melakukan CPR.
                                       Baringkan kucing ke kiri atau ke kanan.
                                       Posisikan diri anda pada hadapan kepala kucing.
                                      Genggam dada kucing dan pastikan telapak tangan anda menutupi bahagian dada kucing. Seterusnya, letakkan ibu jari dan jari-jemari anda pada bahagian tengah dada.
                                      Beri tekanan yang sederhana kuat dengan menggenggami ibu jari dan jari-jemari anda. Ini ibarat anda memicit-micit dada kucing. Genggam pada kadar 100 hingga 160 tekanan seminit (ataupun dalam dua hingga tiga genggaman sesaat).
                                      Selepas 30 saat, berhenti. Tutup mulut dan bibir kucing dan tiup dengan sederhana kuat ke dalam hidung kucing.
                                      Tiup selama tiga saat, selepas itu berhenti dan tarik nafas sebelum tiup semula. Lakukan sehingga dada kucing turun naik dengan sendiri atau anda mengalami sedikit kesukaran untuk meniupkan udara ke dalam hidung kucing. Kesukaran ini akibat kucing yang sudah mula bernafas dengan sendiri. Ulangi hingga 10 atau 20 kali seminit.
                                      Selepas satu minit, berhenti. Lihat jika kucing sudah boleh bernafas sendiri dan rasakan jika jantung kucing sudah mula berdegup (letakkan jari anda satu inci di belakang siku kucing dan di tengah dadanya untuk merasakan denyutan jantung).
                                      Jika jantung kucing masih belum berdenyut, ulangi CPR. Jika jantung sudah mula berdenyut tapi kucing masih belum bernafas, lakukan bantuan pernafasan (*lihat Langkah 4 di atas).

Langkah 6:           Bawa kucing ke klinik dengan segera. Teruskan memberi (CPR) atau bantuan pernafasan sepanjang perjalanan ke klinik atau sehingga kucing sudah boleh bernafas dengan sendiri dan jantungnya sudah boleh berdegup tanpa bantuan.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment