Wednesday 9 November 2016

MENGELAK KUCING DARIPADA MENCAKAR PERABOT


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Seperti anda, kepala saya juga sering pening apabila kucing saya mencakar set sofa saya. Sudahlah harganya tiga bulan gaji saya, senang-senang pula si kucing ini menjahanamkannya.

Kucing tidak mencakar perabot anda kerana ia marah ataupun membalas dendam kepada anda kerana memberikannya makanan yang tidak sedap. Sebaliknya, mencakar merupakan sifat semula jadi kucing. Ia merupakan cara kucing menandakan kawasannya agar kucing lain tidak mencerobohinya. Bak kata Allahyarham P. Ramlee mengatakan, “Ini perempuan aku yang punya,”, sama juga seperti kata kucing yang mengatakan “Ini tempat aku yang punya”.

§  Scratching post
Ada beberapa cara yang dapat anda lakukan untuk mengelak kucing kesayangan anda itu daripada mencakar perabot. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah menyediakan scratching post. Ini ada dijual di kedai keperluan haiwan dan fungsinya adalah untuk kucing mencakarnya.
Untuk menjadikan scratching post anda bertambah menarik, semburkan dengan semburan catnip. Ini ada dijual di kedai keperluan haiwan.
Apabila anda memperoleh scratching post, jangan fikir kucing anda akan menggunakannya secara automatik. Anda perlu memperkenalkannya kepada kucing anda. Caranya amat mudah. Sambil memegang kucing anda, belaikan kuku anda pada scratching post tersebut. Seterusnya, belaikan kuku kucing anda pada scratching post tersebut.

§  Semburan air
Cara yang paling mudah untuk mengelak kucing anda daripada mencakar adalah dengan menggunakan semburan air. Cuma anda perlukan disiplin dan jangan mengharap kucing anda akan berhenti mencakar sejurus selepas anda menggunakan semburan air ini buat beberapa kali.
Setiap kali anda dapati kucing anda ingin ‘menyerang’ perabot anda (ataupun sudah diserang pun), semburkannya dengan semburan air tersebut. Pastikan semua ahli keluarga menggunakan semburan air tersebut terhadap kucing anda. Jika anda seorang sahaja yang menggunakannya, kucing anda akan menyerang balik perabot apabila anda tiada. Letakkan botol semburan air berdekatan dengan perabot anda.

§  Tin/botol minuman berisi
Dapatkan tin minuman atau botol minuman plastik dan bersihkannya. Setelah kering, isikan dengan kacang hijau, batu-batu kecil atau apa-apa sahaja yang boleh mengeluarkan bunyi yang kuat. Isikan sehingga satu pertiga penuh (kalau diisi sehingga penuh, tidak ada pula bunyi nanti). Jikalau menggunakan tin, tutup mulutnya (mulut tin, bukan mulut kucing) dengan scotch tape. Pastikan ianya ditutup dengan kuat. Jika gunakan botol plastik pula, tutupkan dengan penutupnya (ini pun dikira?).
Penggunaannya sama seperti semburan air tadi. Jika kucing hendak menyerang perabot anda, campakkan tin atau botol tersebut ke arah berdekatan kucing anda. Tapi jangan pula awak campakkan tepat pada kucing anda. Kesian pula kawan itu.
Kucing tidak suka bunyi yang bising. Selang beberapa minggu, kucing anda akan mengaitkan perabot anda itu dengan bunyi bising. Oleh itu, ia akan berhenti mencakar perabot anda itu.

§  Double-sided tape dan kertas aluminium
Anda boleh meletakkan double-sided tape dan kertas aluminium berdekatan dengan perabot anda. Kucing tidak suka memijak kedua – dua benda ini. Jika menggunakan double-sided tape, pastikan anda menggunakan jenis yang baik. Saya pernah menggunakan jenis yang murah. Kesudahahnnya, kucing saya tidak hairan pun dan terus ‘melanyak’ perabot saya.

§  Sarung kuku
Jika anda ke kedai keperluan haiwan, anda boleh bertanya jika dijual sarung kuku kucing. Dalam bahasa Inggeris, ianya dipanggil vinyl nail cap dan cara penggunaannya adalah ianya digam pada kuku kucing. Sarung kuku ini dapat bertahan sekitar enam bulan. Kucing yang dipakaikan sarung kukuk ini tidak lagi dapat mencakar dengan baik oleh kerana hujung kukunya yang tajam telah ditutupi oleh sarung kuku tersebut yang diperbuat daripada plastik.
Ingin saya tambah di sini bahawa sesetengah pemilik kucing yang tidak mahu kucing mereka mencakar perabot, melakukan proses yang dipanggil ‘declawing’. Declawing ini dilakukan oleh doktor haiwan dan apa yang berlaku adalah keseluruhan kuku dipotong melalui pembedahan. Walaupun dilakukan oleh doktor, proses ini amat menyakitkan kucing oleh kerana sebahagian tulangnya akan turut dipotong.
Tambahan pula, ianya boleh mendatangkan bahaya kepada kucing anda hendak diserang oleh kucing lain. Jika ini berlaku, kucing anda yang sudah tidak mempunyai kuku, tidak mempunyai sebarang senjata untuk membela dirinya.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment