Tuesday 1 November 2016

TELINGA KUCING ANDA BENGKAK

Telinga merupakan satu daripada organ tubuh kucing yang sering tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Ini kerana mungkin kita menganggapnya sebagai satu organ yang tidak akan terkena sebarang penyakit.
Tetapi tahukah anda jika dibiarkan begitu sahaja, masalah yang kecil pada telinga boleh mengakibatkan masalah yang jauh lebih serius.
Sebagai langkah kesihatan, telinga kucing harus  dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Walaupun aktiviti ini tidak disukai oleh kucing namun anda harus tetap melakukannya.


Beberapa petanda awal yang memberikan isyarat bahawa kucing  anda sedang mengalami masalah pada telinganya adalah seperti:
§  Telinga bengkak
Telinga boleh menjadi bengkak sekiranya pembuluh darah yang berada di kawasan telinga pecah. Pembuluh-pembuluh darah adalah amat halus dan mudah pecah.
Apabila ia pecah, darah akan mengalir keluar dari pembuluh tersebut dan apabila darah ini bertakung di bawah permukaan kulit, maka terjadilah bengkak. Anda harus dapatkan rawatan doktor haiwan bagi mengeluarkan darah yang bertakung ini.

§  Keluar biji-biji kecil
Biji-biji kecil berwarna kemerahan ini sering disebabkan oleh gigitan serangga seperti nyamuk. Jika ini berlaku, dapatkan krim anti-inflammatory (boleh didapati di klinik haiwan) bagi mengurangkan biji-biji kecil ini. Jika ianya tidak serius, selang beberapa hari, biji-biji tersebut akan hilang.

§  Kotoran berwarna hitam
Jika terdapat kotoran yang tebal di kuping telinga kucing anda dan ianya berwarna hitam, besar kemungkinan ia diakibatkan oleh sang pijat. Pijat ini memakan kulit mati dan jika terdapat di telinga, ia memperoleh kulit mati dari gegendang telinga kucing.
Oleh kerana gegendang telinga ini terletak jauh di dalam rongga telinga, ianya amat berbahaya pada kucing dan bagi kes-kes yang serius, rawatan amat sukar. Pastikan kucing anda tidak bergaul dengan kucing-kucing lain yang mempunyai pijat kerana pijat suka melompat macam katak. Jadi, amat mudahlah ia ‘berhijrah’ dari satu kucing ke kucing yang lain.

§  Bau busuk
Bau yang kurang menyenangkan pada telinga adalah kerana terdapat jangkitan pada gegendang telinga. Punca jangkitan ini, antararanya seperti pijat, kulat, bakteria dan juga alahan (allergy).
Jika telinga berbau busuk, segera bawa kucing ke doktor haiwan. Mudah-mudahan gegendang telinganya masih boleh diselamatkan.

§  Pekak
Mungkin anda tidak mengetahui bahawa kucing berwarna putih dan matanya biru warna kebanyakannya pekak semenjak lahir. Namun bagi kucing-kucing lain, semakin umur meningkat, daya pendengaran pun semakin berkurangan.
Bagi kes-kes sebegini, pekak bukanlah disebabkan oleh sebarang masalah kesihatan tapi lebih kepada sebahagian daripada proses penuaan.
Jika di rumah, anda oleh membersihkan sendiri telinga kucing anda dengan hanya menggunakan kapas. Lembapkan sedikit kapas tersebut dan perlahan-lahan lapkan kuping telinga kucing anda pada bahagian dalam. Jika anda dapati kotoran masih melekat, titiskan sedikit minyak zaitun pada kapas tersebut agar kotoran di telinga lebih mudah dibersihkan.
Anda juga boleh menggunakan cotton bud untuk membersihkan telinga kucing tapi pastikan anda tidak mengorek terlalu dalam ke dalam lubang telinga kerana selain menyakitkan kucing, kecederaan serius mungkin akan berlaku. 


Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment