Wednesday 2 November 2016

APABILA ANAK ANDA BAWA BALIK ANAK KUCING KE RUMAH

Mungkin anda pernah mengalami situasi ini yang mana anak anda membawa balik kucing ke rumah selepas sekolah. Jika anda tinggal di rumah yang mempunyai laman, keadaan ini tidak akan memeningkan kepala. Namun jika anda tinggal di rumah pangsa atau kondominium, mungkin kelam-kabut anda dibuatnya.
Sebelum anda mengambil keputusan untuk membela kucing tersebut, anda harus membawa balik kucing tersebut ke tempat anak anda menjumpainya. Mungkin semasa anak anda menemui kucing tersebut, ibu kucing sedang mencari makanan untuk anaknya.
Kesian si ibu kucing setelah bersusah payah mencari makanan bagi anaknya, anaknya pula diculik orang. Selepas anda benar-benar pasti ibu kucing tidak akan kembali barulah anda boleh membawa balik kucing tersebut.
Dalam minggu pertama kucing tersebut menjadi penghuni rumah anda, lebih elok jika ia diletakkan di dalam sebuah bilik khas. Ini pun jika anda mempunyai bilik kosong. Tujuannya adalah supaya kucing tersebut belajar menjadi selesa dengan suasana baharunya. Sama juga seperti kita, kucing pada awalnya akan berasa takut apabila berada di tempat yang baharu.
Jika anda bercadang untuk menggunakan cat litter iaitu bahan yang digunakan bagi kucing membuang air kecil atau besar, pastikan kucing tersebut tahu di mana letaknya cat litter tersebut. Jika tidak, kucing akan melepaskan najisnya di mana-mana sudut rumah anda yang ia inginkan.
Untuk menjadikan kucing lebih selesa, anda boleh menggunakan kain buruk untuk dijadikan selimut agar ia dapat berehat dalam keadaan aman dan selesa. Ada sesetengah orang yang suka memasukkan kucing mereka ke dalam bilik yang berhawa dingin.
Sebenarnya ini tidak perlu dan hanya akan membazirkan wang anda sahaja. Kucing akan berasa lebih selesa pada suhu 39o Celcius. Suhu ini agak panas dan atas sebab inilah kenapa anda sering dapati kucing suka baring di atas permukaan jalan raya yang agak panas dan juga di atas bonet kereta yang masih panas.
Sekiranya anda mempunyai jam loceng yang mengeluarkan bunyi detik yang agak kuat, anda boleh letakkannya bersebelahan anak kucing tersebut ketika ia sedang tidur. Bunyi detik jam ini seakan-akan denyutan nadi ibu kucing dan apabila kucing beranggapan ibunya sedang berada di sisinya sudah tentu ia akan berasa lebih tenang.
Bagi anda yang mempunyai kucing lain di rumah, jangan dipertemukan kucing yang baru menghuni rumah anda itu dengan kucing yang sudah lama menjadi penduduk tetap rumah anda. Ini bagi mengelak mereka daripada bergaduh.
Lama-kelamaan dan secara berperingkat, barulah perkenalkan mereka bersama. Kucing yang sudah lama tinggal di rumah anda tentunya pada awal tidak suka kucing lain berkongsi tempat kediamannya. Ada di antara kucing yang memerlukan masa berbulan-bulan sebelum mereka dapat tinggal di rumah yang sama.
Sekiranya kucing yang lama dan kucing yang baharu sering bergaduh, anda boleh mencuba untuk meletakkan sedikit bedak talkum ataupun coletkan essence of vanilla di bawah dagu, atas hidung dan bahagian dubur kucing.
Kebiasaannya, kucing akan mencium di bahagian-bahagian ini. Jika kucing dapati bau kucing yang lain sama dengan bau badannya sendiri, ini boleh membantu mengelakkan pergaduhan.

Perhatian!
Jangan disentuh anak-anak kucing yang sedang menetek. Apabila ibu kucing tersebut mendapati kelainan pada bau anak-anaknya, ada kemungkinan ibu kucing tidak lagi mengenali anaknya dan tidak akan menerimanya.
Sebab itulah kenapa anda dapati adakalanya kucing yang masih tidak tahu lagi mencari makanan sendiri ditinggalkan sendirian. Ini mungkin berlaku apabila si ibu keluar mencari makanan bagi anaknya, anak kucing tersebut telah disentuh oleh manusia.
Ini akan menyebabkan bau badan manusia hinggap pada anak kucing tersebut. Apabila si ibu kembali untuk memberi makanan pada anaknya, didapati anaknya tadi tidak lagi mempunyai bau yang sama. Oleh itu, si ibu tidak lagi mengenali anaknya. Kucing lebin menggunakan deria bau untuk berkomunikasi sesama sendiri.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment