Wednesday 2 November 2016

KUCING ANDA MUNTAH

Selalunya kucing jarang muntah namun ada ketika anda akan melihat kucing anda muntah. Jika ianya muntah sekadar sekali dua, anda tidak perlu risau. Tetapi jika ia sering muntah, anda harus berikan lebih perhatian dan awasi keadaan kucing anda.
Alasan yang utama kenapa kucing muntah adalah akibat masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, kucing boleh muntah disebabkan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan masalah kesihatan.
Biasanya apabila kucing terlalu lapar, ia akan makan dengan gelojoh dan ini akan mengakibatkan ia memuntahkan semula apa yang dimakan. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, jika anda lihat kucing anda makan dengan terlalu gelojoh, ambil makanannya semula dan beri pada kadar yang sedikit. Tunggu hingga ia habis makan kemudian baru beri yang selebihnya.
Jika kucing anda dapati ada kucing lain yang berada di sekelilingnya sewaktu ia sedang makan, ia juga akan makan dengan gelojoh untuk mengelak makanannya daripada dimakan oleh kucing lain. Apabila ia makan dengan gelojoh, kemungkinan ia akan muntah.
Diet kucing anda juga memainkan peranan. Jika kucing anda tidak dapat menerima makanan yang dimakannya kerana alahan atau ketidakserasian, ia juga akan muntah. Untuk mengelakkan kejadian ini daripada berlaku, tukar kepada makanan yang dapat diterima kucing anda. Pada masa yang sama, pastikan makanan itu sihat dan seimbang.
Sebagai cara untuk mendandan diri, kucing akan sentiasa menjilat-jilat bulunya. Oleh kerana lidah kucing kesat dan air liurnya sedikit melekit, bulu-bulunya akan tersangkut di lidah kucing ketika proses mendandan diri. Seterusnya, kucing akan menelan bulu-bulu ini dan ini akan mengakibatkan kerongkongnya terasa gatal. Kucing akan muntah untuk mengeluarkan bulu-bulu ini dari kerongkong, perut atau ususnya.
Untuk membantu kucing mengeluarkan bulu dari dalam tubuhnya, berikan kucing anda makan makanan yang ditandakan Hairball Control. Makanan khusus ini mempunyai serat yang dapat membantu kucing mengeluarkan bulu melalui saluran najis.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment