Thursday 3 November 2016

KENAPA KUCING JANTAN SUKA KENCING MERATA-RATA

Mungkin anda sering melihat kucing jantan menyemburkan air kencingnya ke mana sahaja yang diinginkannya baik di kereta, tanaman atau di mana sahaja yang dihajatinya. Tabiat menyembur air kencing oleh kucing jantan ini digerakkan oleh beberapa sebab seperti sudah tiba musim mengawan, stres atau terdapat sebarang perubahan pada norma kehidupannya.
Yang menjadi masalah ialah jika kucing anda menyemburkan air kencingnya di dalam rumah anda. Tentu tidak seronok, bukan? Pengembirian dapat mengurangkan tabiat menyembur air kencing ini.

Penyemburan air kencing ini merupakan suatu perkara yang lazim dilakukan oleh kucing dan anda akan mampu menangani isu ini jika anda tahu apa puncanya. Berikut saya terangkan sedikit punca-puncanya.

Punca kucing jantan suka kencing bersepah:

     1.   Penanda kawasan
Kucing jantan menggunakan penyemburan air kencing untuk menandakan tempat yang dikencingnya adalah miliknya dan tidak boleh dicerobohi oleh kucing lain. Air kencing kucing mengandungi banyak  bahan kimia yang dipanggil pheromones. Pheromones inilah yang mengakibatkan kucing-kucing lain mengetahui bahawa sesuatu kawasan itu sudah ada pemiliknya.

     2.   Penyakit pada saluran air kencing
Kucing jantan yang menyembur air kencingnya mungkin mengalami masalah kesihatan. Penyakit pada saluran air kencing dipanggil Urinary Tract Disease (UTI).
Kucing yang menderita penyakit UTI ini akan kesakitan semasa kencing dan kerap kencing dengan kuantiti yang sedikit. Antara petanda UTI adalah seperti:
§  Meneran (kesakitan) semasa kencing
§  Menangis atau meraung ketika kencing
§  Terdapat darah pada air kencing
§  Menjilat kemaluan dengan kerap
§  Menurun berat badan
§  Muntah-muntah

     3.   Penukaran bahan pembuangan najis (cat litter)
Kucing amat sensitif terhadap perubahan. Jikalau anda menukar bahan pembuangan najisnya (contohnya, daripada yang jenis pasir kepada jenis kayu), ia mungkin tidak suka pada jenis yang baharu itu. Maka, ia tidak akan menggunakannya dan sebaliknya kencing di tempat yang lain (mungkin atas katil). Ini juga boleh berlaku jika anda menggunakan bahan pembuangan najis yang sama tetapi bertukar kepada jenama yang lain.
Lokasi tempat pembuangan najisnya juga tidak digalakkan untuk diubah kerana ini akan memeningkan kucing anda dan ia akan mula ‘menyahut seruan alamnya’ di tempat lain.

     4.   Stress (tekanan)
Kucing boleh mendapat stres jika:

§  pindah rumah
§  ubah suai rumah
§  kematian atau ketiadaan seorang ahli keluarga
§  kehadiran
§  kehadiran haiwan peliharaan baharu
§  perubahan pada makanan kucing atau rutin hariannya
§  perubahan pada rutin pemilik kucing
§  kurang kasih sayang dan belaian manja
§  penyakit
§  bunyi bising

Sekiranya anda tidak dapat mengatasi masalah penyemburan air kencing ini, anda dinasihatkan untuk mendapat bantuan doktor haiwan.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

1 comment: