Wednesday 2 November 2016

KUCING PUN HARUS BERSENAM

Meskipun kucing anda nampak kurus dan sihat, ia masih memerlukan senaman dan riadah yang mencukupi untuk memastikan tahap kesihatan yang baik. Tahap kesihatan harus dijaga bagi mengurangkan risiko kucing diserang pelbagai penyakit yang berkaitan dengan berat badan yang berlebihan. Kucing yang kurang bersenam akan menjadi malas (macam kucing saya) dan lambat-laun, ia sudah tentu akan menjadi gemuk.
Antara penyakit yang lazim menyerang kucing gemuk adalah seperti kencing manis (jangan ingat manusia saja yang terkena penyakit ini), masalah pada saluran kencing, serangan jantung (heart attack lah tu...), jangkitan pada hati dan juga beberapa masalah kesihatan lain yang boleh membawa maut.
Apabila kucing menjadi gemuk, kesannya akan leih ketara ketika usia senjanya yang mana berat badan yang berlebihan memberi tekanan berlebihan kepada sendi-sendi yang semakin keras akibat penuaan – dah lah sendi tu semakin keras, ditambah pula dengan tekanan yang berlebihan.
Bagi kucing yang tinggal di luar rumah, sudah tentu ia mempunyai banyak peluang untuk bersenam. Bagi kucing yang asyik duduk dalam rumah pula, maka menjadi tanggungjawab tuannya (anda lah tu) untuk memastikan ia mendapat senaman yang mencukupi.

Cara yang paling seronok untuk ‘memaksa’ kucing anda bersenam adalah melalui permainan. Jangan pula ada yang membawa kucing mereka berlari-lari anak semata-mata untuk memberi kucing senaman.

   1. Ambil sekeping kertas dan gumpalkannya sehingga menjadi seperti bola. Setelah itu, campakkanya ke arah kucing anda. Ini amat disukai oleh kucing anda. Anda juga boleh mengikat tali kepada gumpalan kertas tersebut dan menariknya untuk membuatkan kucing anda lebih berasa seronok.
    2. Dapatkan lampu picit atau laser pointer (lampu merah yang sering digunakan untuk presentation). Pancarkan ke arah berdekatan kucing anda. Ia pasti akan terkejar-kejar lampu tersebut. Namun, anda harus pastikan agar tidak menyuluh cahaya tersebut ke arah mata kucing untuk mengelak kerosakan pada mata kucing anda.
   3. Di kedai haiwan terdapat pelbagai barang mainan yang boleh anda belikan untuk keseronokan kucing anda. Bergantung pada kucing, cuba dapatkan mainan yang mengandungi bauan catnip untuk keseronokan tambahan. Kebanyakan kucing amat menyukai bau catnip ini.
  4.  Di antara semua permainan, kucing amat menyukai permainan yang berbentuk pancing yang mana hujungnya diikat dengan material yang berbulu. Kucing anda pasti terlompat-lompat keseronokan mengejar bulu ini.
    5. Kucing juga suka sangat bermain dengan kotak dan beg kertas dan benda ini amat mudah didapati. Anda tidak dinasihatkan membiarkan kucing anda bermain dengan beg plastik kerana ini boleh menyebabkan lemas.
    6. Dan yang paling penting, jangan lupa untuk ketawa semasa bermain dengan kucing anda! Apabila anda ketawa dan berasa seronok, ianya akan memberi banyak manfaat kesihatan dan emosi pada diri anda sendiri. Kucing serta orang sekeliling anda akan secara tidak sedar akan dapat merasakan getaran kebahagiaan di dalam diri anda dan ini akan membuat mereka gembira juga.
     


Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan. 

No comments:

Post a Comment