Thursday 10 November 2016

6 CARA UNTUK MENGELAK KELEMUMUR


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Kelemumur merupakan masalah yang sering dialami oleh pemilik kucing dan ia juga menjadi punca alahan bagi manusia. Ini kerana kelemumur kucing mempunyai sejenis protein yang boleh mengakibatkan kegatalan pada manusia yang berkulit sensitif.

Sama seperti kelemumur manusia, kelemumur kucing ini merupakan sel kulit yang telah mati. Ia mungkin diakibatkan oleh masalah kulit, kegemukan (kucing yang terlalu gemuk tidak dapat membersihkan beberapa tempat di badannya sendiri), perubahan cuaca atau udara yang kering. Kelemumur lebih mudah dilihat pada kucing berbulu hitam atau gelap berbanding kucing yang berbulu cerah.

Kelemumur boleh dikawal melalui pelbagai cara:

1.   Berus kucing anda
Memberus dapat membuang sel-sel kulit yang telah mati dan juga bulu yang gugur. Walaupun kucing menjilat tubuhnya sendiri, ini tidak mencukupi dan kelemumur masih boleh ada.
Jika kucing anda tua atau terlalu gemuk, ia mungkin tidak dapat mencapai beberapa bahagian di tubuhnya untuk dibersihkan. Bantu kucing anda dengan memberus bulunya setiap hari lebih-lebih lagi di tempat yang tidak dapat dicapai oleh kucing seperti di bahagian belakang dan ekor.

2.   Mandikan kucing anda
Kadar kelemumur boleh dikurangkan dengan banyak apabila kucing dimandikan. Secara amnya, kebanyakan kucing tidak menyukai air. Jadi anda perlulah bersabar sedikit. Jika kucing tetap tidak mahu mandi, ambil kain basah dan lapkan pada tubuh kucing walaupun ini tidak sebaik memandikan kucing.

3.   Tukar syampu
Sesetengah syampu mengeringkan kulit kucing. Gunakan syampu yang bertanda hypoallergenic. Syampu jenis ini lebih baik bagi kulit. Dapatkan juga conditioner yang dapat melembapkan kulit kucing.
Pastikan anda bersihkan tubuh kucing secukupnya. Syampu yang tertinggal pada tubuh kucing juga boleh mengakibatkan kelemumur.

4.   Tukar diet
Diet memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kesihatan kulit kucing. Tanyakan doktor haiwan jenis makanan tambahan (food supplement) yang sesuai untuk kucing anda. Lemak Omega 3 terbukti berkesan dalam penjagaan kulit yang sihat. Makanan ‘basah’ (makanan dalam tin) disyorkan bagi kucing yang mempunyai kulit yang sangat kering berbanding dengan makanan ‘kering’ (seperti biskut kucing).
Minyak ikan boleh membantu melembapkan kulit kucing.
Pastikan kucing minum air secukupnya. Sekiranya kucing kerap kehausan atau tubuhnya kurang cecair, kulit juga akan menjadi tidak sihat. Air yang diberi juga harus bersih dan diganti setiap hari – kucing tidak suka air yang lama atau suam.

5.   Gunakan humidifier
Jika kucing banyak menghabiskan masa dalam rumah dan udara dalam rumah terlalu kering, kulit kucing akan menjadi kering dan mula mengelupas. Pelembap udara (air humidifier) dapat membantu.

6.   Gunakan pelembap kulit (Moisturizer)
Jika cuaca sejuk seperti pada musim tengkujuh atau jika berada di tempat tanah tinggi seperti Genting Highlands, kulit boleh menjadi kering dan lebih banyak kelemumur akan dihasilkan. Apabila ini berlaku, gunakan pelembap khusus untuk kucing.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment