Wednesday 2 November 2016

ANTARA MAKANAN KERING DAN BASAH, MANA LEBIH BAIK?

Makanan bagi kucing terbahagi kepada dua bahagian – iaitu kering dan basah. Ada di antara kita suka beri makanan kering dan ada pula yang basah. Kedua-dua jenis lebih baik daripada hanya memberi kucing makan nasi dan ikan kerana ianya lebih berkhasiat dan seimbang. Namun, tahukah kita apa kelebihan dan kekurangan bagi makanan kering (biskut) dan basah (dalam tin) ini?
Sebenarnya, tidak banyak perbezaan di antara kedua-duanya dan pemilihan lebih bersandarkan yang mana satu memudahkan anda. Namun, sebagai panduan, sekiranya anda tidak berapa tahu mengenai kandungan khasiatnya, anda harus mencari makanan yang ditandakan Nutritionally Complete. Ini bermakna makanan tersebut mempunyai khasiat yang seimbang. Kucing yang sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan memerlukan keseimbangan ini untuk fungsi tubuh yang baik.
Bagi kucing yang mempunyai masalah saluran kencing (urinary tract disease) atau kalau kucing anda jarang minum air, anda dinasihatkan memberinya makanan dalam tin. Makanan dalam tin mengandungi air yang dapat membantu membersihkan saluran kencing kucing.
Antara kelebihan biskut kucing dibandingkan dengan makanan dalam tin ialah ianya lebih menjimatkan belanja. Memandangkan biskut kucing terdapat air (atau kandungan air amat sedikit sahaja), ianya dapat bertahan lebih lama setelah bungkusannya dibuka. Melalui pengalaman saya, makanan dalam tin lebih menyelerakan bagi kucing kerana baunya yang amat kuat. Mmmmmm sedapnya!
Bagi anda yang memberi kucing anda makan biskut kucing, saya ingin memberi sedikit panduan. Walaupun jenama biskut anda amat popular dan sering diiklankan, anda dinasihatkan untuk membeli makanan yang lebih mahal sekiranya anda mampu. Ini kerana, walaupun makanan kucing tersebut merupakan Nutritionally Complete dan jenis murah, kemungkinan besar proses penghasilannya tidak memuaskan.
Ada sesetengah jenama biskut kucing yang dicampur dengan hampas dan juga sisa-sisa ikan yang telah rosak. Sebab itu ia murah. Yang ada pula mempunyai bahan seperti garam dan kalsium yang berlebihan dan ini amat merbahaya bagi kucing untuk jangka masa panjang. Saluran kencing kucing boleh didatangi masalah dan kucing anda akan terpaksa dibedah.
Jadi, janganlah hendak berjimat sangat. Kalau kucing anda sudah sakit nanti, perbelanjaannya tentu akan lebih besar. Ini belum termasuk lagi kos rawatan susulan.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment