Monday 7 November 2016

BAGAIMANA MENJAGA KUCING YANG SAKIT?


Dapatkan EBOOK PERCUMA DI https://www.facebook.com/CalicoCatHouz/

Apabila kucing sakit, biasanya ia akan menyembunyikan diri di celah-celah yang sukar dicari. Sudah tentulah ini merumitkan anda untuk menjaganya dengan baik semasa ia sedang sakit. Kucing yang sakit memerlukan lebih perhatian dan berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu kucing berasa lebih selesa.

§  Berikan ruang
Jikalau di rumah anda terdapat bilik kosong, adalah baik jika anda dapat berikannya kepada kucing anda yang sedang sakit itu. Ini akan membuat kucing anda berasa lebih selesa dan selamat. Ini juga akan memudahkan anda mencari kucing anda apabila tiba waktu memberi ubat.
Sekiranya tidak ada bilik kosong di rumah anda untuk digunakan oleh kucing anda yang sakit itu, berusahalah untuk dapatkan kotak yang agak besar dan letakkan di hujung bilik. Ini akan membuat kucing anda berasa yang ia tidak akan diganggu apabila berada di dalam kotak tersebut.

§  Berikan tempat pembuangan najis yang khusus
Sekiranya terdapat lebih daripada satu kucing di rumah anda dan anda mengamalkan penggunaan tempat pembuangan najis (litter box), kucing yang sakit amat sensitif dan akan berasa takut untuk berkongsi tempat pembuangan najisnya.
Berikan kucing anda yang sakit itu tempat pembuangan najisnya sendiri dan letakkan berdekatan penjuru itu di mana ia selalu berehat untuk memudahkannya ‘menyahut seruan alam’.

§  Dekatkan makanan dan minuman dengan tempat kucing berehat
Kucing yang sakit sudah tentu badannya agak lemah dan agak keberatan untuk pergi jauh dari tempat ia berehat walaupun untuk makan atau minum. Sekiranya kucing anda yang sakit itu kurang makan dan minum, sudah tentu ia akan bertambah sakit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pastikan makanan dan minuman kucing anda berdekatan dengan tempat ia berehat dan pastikan menukar air minumannya setiap hari.

§  Berikan selimut
Kucing yang sakit, sama juga seperti anda, akan berasa lebih selesa jika berselimut. Selain daripada selimut, terdapat produk di pasaran yang dipanggil heating pad dan juga selimut yang menggunakan kuasa bateri atau elektrik yang memberi kesan yang sama.

§  Berikan ‘kudapan’ (cemelan)
Walaupun kucing anda tidak mahu makan makanannya, namun jika anda menyuapnya, ia mungkin akan makan dari tangan anda. Di kedai keperluan haiwan ada dijual ‘cemelan kucing’ yang sebahagiannya berupa biskut lazat yang amat digemari kucing. Kucing anda akan berasa lebih disayangi jika disuapkan makanan kepadanya.

§  Bermain
Walaupun kucing anda tidak mempunyai banyak tenaga untuk bermain, anda harus tetap berusaha untuk mengajaknya bermain. Ini akan membuatnya lupa akan penyakitnya buat seketika. Namun, sudah tentu cara permainanya berbeza daripada biasa bersesuaian dengan keadaan kucing yang sedang sakit itu. Tapi jangan berasa hampa jika kucing anda tidak menunjukkan sebarang minat untuk bermain.

§  Lawatan
Biarpun kucing yang sakit lebih gemar bersendirian, anda perlu menjenguknya sekali-sekala. Ini akan membuatnya berasa disayangi dan dihargai. Luangkan juga masa untuk mengusap badan kucing anda itu.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment