Tuesday 1 November 2016

KUCING TUA DAN GEMUK SERING HIDAP KENCING MANIS

Walaupun sering berlaku, namun masih ramai yang kurang menyedari kucing juga boleh terkena penyakit kencing manis. Lebih-lebih lagi kucing yang sudah tua dan juga yang berlebihan berat badan.
Antara kucing jantan dan betina pula, kemungkinan kucing jantan menghidapi penyakit kencing manis adalah dua kali ganda daripada kucing betina.

Antara petanda awal kucing anda menghidapi kencing manis adalah seperti:
§  cepat letih
§  berat badan turun dengan mendadak
§  makan secara berlebihan
§  sering kencing atau kencing dengan banyak
§  kuat minum air
§  kekurangan air dalam tubuh (dehydration)
§  mengalami katarak mata (bola mata akan kelihatan berkelabu dan ini akan menjejas tahap penglihatan)

Kencing manis berpunca daripada dua cara iaitu:
1.     Tubuh berhenti atau kurang mengeluarkan sejenis hormon yang diberi nama insulin.
(IDDMInsulin Dependent Diabetes Mellitus ataupun Diabetes Mellitus Type 1)
2.     Tubuh tidak memberi reaksi terhadap insulin.
(NIDDM - Insulin Dependent Diabetes Mellitus ataupun Diabetes Mellitus Type 2)

Jika satu daripada perkara di atas berlaku, maka kucing akan menghidapi penyakit kencing manis atau nama saintifiknya, diabetes mellitus. Insulin merupakan satu bahan yang amat diperlukan bagi membolehkan sel tisu tubuh menyerap gula. Oleh kerana tubuh tidak lagi boleh memproses gula, maka kandungan gula dalam darah akan meningkat (hyperglycemia).
Harus diketahui bahawa tekanan atau stres juga boleh mengakibatkan kencing manis tetapi ini merupakan keadaan yang sementara sahaja. Sekiranya kencing manis berlanjutan, sel-sel tubuh tidak lagi menggunakan gula (glukosa) untuk menghasilkan tenaga. Sebaliknya, lemak akan digunakan untuk penghasilan tenaga. Apabila ini berlaku, sejenis kimia yang dikenali sebagai ketones akan terhasil. Apabila ini berlaku, ketones ini terdapat di dalam darah, ia akan mengakibatkan kucing anda menjadi:
§  Murung (depression)
§  Lemah
§  Muntah-muntah
§  Sukar bernafas (heavy breathing)
§  Bernafas dengan pantas (rapid breathing)
§  Nafas berbau sejenis kimia yang diberi nama acetone

Kencing manis bukanlah sejenis penyakit yang ringan dan anda harus bawa kucing anda ke klinik haiwan dengan segera. Di klinik haiwan, doktor haiwan akan mengambil ujian air kencing dan darah kucing.
Kadar gula dalam darah yang sihat adalah 80 hingga 120 miligram bagi setiap deciliter (ataupun 0.8 gram bagi setiap 1 liter).
Oleh kerana kucing yang menghidapi kencing manis tidak mampu memproses glukosa, maka glukosa ini pun keluar dari tubuh melalui air kencing. Atas sebab inilah mengapa air kencing diperiksa untuk kehadiran glukosa.
Ujian darah dan air kencing ini juga mampu mengesan sekiranya terdapat sebarang penyakit lain.

Penjagaan selanjutnya
Cara menjaga kucing yang menghidapi kencing manis lebih kurang sama dengan manusia iaitu dengan diet ataupun suntikan insulin. Suntikan insulin hanya diberikan kepada kucing yang mengalami NIDDM di mana tubuhnya tidak boleh menghasilkan insulin dengan sendiri.
Daripada segi diet, doktor akan menasihati anda supaya memberi kucing makanan yang tinggi serat (high fiber) dan mengandungi karbohidrat kompleks (complex carbohydrates).
Berbeza daripada karbohidrat biasa, karbohidrat kompleks ini tidak mudah berubah menjadi gula atau glukosa. Oleh itu, tubuh masih mendapat bekalan glukosa bagi tenaga tetapi bukan dalam kuantiti yang berlebihan.
Suntikan insulin pula boleh dilakukan oleh anda sendiri di rumah. Anda harus menyimpan insulin ini di dalam peti sejuk kerana jika dibiarkan pada suhu panas, ianya akan rosak dan insulin ini sangat mahal. Pastikan anda tidak menyuntik pada bahagian yang sama setiap kali memberi kucing suntikan insulin.
Kasihanlah sikit pada kawan itu. Kalau dah tiap-tiap hari suntik pada tempat yang sama, lambat laun, bengkak juga. Sesetengah kucing memerlukan suntikan insulin seumur hidup. 


Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment