Friday 4 November 2016

CARA MENGHILANGKAN BAU KENCING KUCING

Mungkin anda tergolong di antara ramai yang ingin mengetahui bagaimanakah caranya untuk menghilangkan bau kencing kucing, bukan? Memanglah sebelum itu kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kucing daripada kencing pada harta benda kita tetapi kalau sudah terjadi juga, terpaksalah anda hilangkan antara bau yang paling ‘harum’ yang pernah anda hidu – bau kencing kucing.
Air kencing kucing ini mempunyai bau yang amat ‘menyengat’ hidung. Jika anda tidak dapat membersihkannya dengan betul, bau tersebut boleh ‘menghiasi’ ruang udara anda pada jangka masa yang lama.


Berikut adalah cara yang mudah untuk menghapuskan bau kencing kucing:
Ramuan-ramuannya
1)     Kain buruk
2)     Baldi kecil
3)     Berus
4)     Cuka (white vinegar)
5)     Cecair pencuci pinggan mangkuk
6)     Minyak Eucalyptus, secukup rasa

Peraturannya:
1.     Jika air kencing kucing masih basah, bersihkan secepat mungkin dengan menggunakan kertas tisu. Jika air kencing tidak kelihatan (sudah kering) anda tidak perlu bersusah payah untuk melakukan langkah yang pertama ini – sudah tiada benda yang perlu dilapkan.
2.     Ambil baldi kecil dan bancuhkan ¼ cawan cuka (white vinegar), beberapa titis minyak Eucalyptus dan 2 sudu kecil cecair pencuci pinggan mangkuk. Gaulkan kesemua bahan ini di dalam baldi hingga sebati.
Syabas! Anda kini telah berjaya mengeluarkan produk pencuci kencing kucing dan kini bolehlah dijual di pasar malam – kalau dapat untung itu, berilah saya sikit.
3.     Pergi ke tempat di mana terdapat kesan bekas kencing kucing. Tunang atau semburkan bancuhan yang telah anda buat pada langkah di atas. Jangan lokek, gunakan seberapa banyak yang anda rasa sesuai.
Jika kucing telah kencing pada permaidani, anda harus menggunakan bancuhan tadi pada kadar yang agak banyak agar ia mampu meresap jauh ke dalam permaidani. Kalau permaidani anda jenis yang jari kaki anda boleh ‘hilang’ bila memijaknya, makin banyak bancuhan yang perlu anda gunakan.
4.     Ambil berus dan beruskan selama beberapa minit ke tempat kencing kucing agar bahan bancuhan tadi benar-benar meresap. Selepas sebaldi peluh anda keluarkan ketika aktiviti memberus ini, barulah anda boleh melangkah ke tahap seterusnya.
5.     Ambil kain buruk dan rendamkan di dalam air panas. Angkat kain buruk tersebut dan pastikan ia betul-betul basah tapi jangan sampai airnya menitik dan lapkan pada tempat di mana anda telah menggunakan bahan bancuhan tadi.

Lakukan beberapa kali sehingga betul-betul bersih dan biarkan tempat tadi sehingga kering. Jika bau tetap ada, ulangi keseluruhan proses ini beberapa kali sehingga berjaya.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

1 comment:

  1. Tuan, sy nak tau bagaimana pula jika pinggan mangkuk terkena air kencing. Adakah masih boleh kita gunakan. Bagaimana pula cara membersihkannya. Terima kasih.

    ReplyDelete