Monday 7 November 2016

BILA BARU HENDAK BAWA KE KLINIK?

Sebagai pemilik kucing yang prihatin, sudah pasti anda akan risau jika kucing anda tidak sihat. Sering yang menjadi persoalannya adalah: - hendak bawa ke klinik ke atau tidak? Jika penyakitnya nampak serius, anda harus membawa kucing kesayangan anda terus ke klinik. Tetapi harus saya tekankan di sini bahawa kucing ini memang pakar dalam menyembunyikan perasaan mereka lebih-lebih lagi ketika sedang sakit.
Apakah yang dikategorikan sebagai serius dan apa pula yang bukan serius? Perbincangan ini sudah tentu akan mengambil masa yang panjang untuk dibahaskan. Namun, di sini akan saya utamakan tujuh keadaan di mana anda harus bawa kucing anda ke doktor dengan segera.

Ini tidak bermakna jika kucing anda tidak menunjukkan ketujuh-tujuh petanda ini ia tidak perlu dibawa ke klinik. Dalam apa-apa hal, kita harus gunakan budi bicara kita sendiri di dalam menentukannya. Pendek kata, jika anda kurang pasti, bawa saja kucing anda ke klinik walaupun ia nampak tidak serius. Doktor haiwan pun hendak cari makan juga.

1.   Muntah (beberapa kali sehari)
Muntah yang dimaksudkan di sini bukanlah muntah sekali-sekala yang sering berlaku. Dari semasa ke semasa, kucing akan muntah untuk mengeluarkan gumpalan bulu yang telah ditelannya semasa proses menjilat bulu ketika ia mendandan dirinya.

2.   Berak-berak (lebih daripada 24 jam)
Berak-berak biasa merupakan petanda awal kehadiran penyakit-penyakit lain. Mungkin ia petanda kucing anda sedang mengalami kekurangan air/cecair (dehydration), mahluk parasit (parasites), kencing manis, penyakit hati, kehadiran virus, feline leukemia atau penyakit buah pinggang.
Walau apapun, jika kucing anda menderita berak-berak selama dari 24 jam, bawa ia ke ke klinik dengan segera. Adalah baik jika anda mampu membawa bersama contoh najis kucing anda ke klinik agar lebih memudahkan doktor mengenal pasti punca berak-berak.

3.   Susah kencing
Jika kucing anda asyik meneran dan meraung ketika hendak kencing, sudah tentu ada masalah pada sistem saluran kencingnya. Jika terdapat penyakit pada sistem saluran kencing atau jika saluran tersebut tersumbat, ini akan mengundang pelbagai penyakit lain yang akan lebih merumitkan keadaan. Harus saya ingatkan di sini jika saluran kencing tersumbat pada kucing jantan, ia mungkin membawa maut.
Jika kucing anda tidak mahu menggunakan tempat pembuangan najisnya (litter box), anda harus memberitahu doktor untuk memastikan sama ada ini adalah masalah kesihatan ataupun sikap kucing itu sendiri.
Penyakit-penyakit yang boleh mengakibatkan saluran kencing jadi tersumbat adalah seperti ketumbuhan (tumour), cyst, infeksi batu karang (stones infection) dan bengkak pada saluran kencing itu sendiri atau pada buah pinggang.
Adalah wajar jika anda membawa bersama contoh air kencing kucing anda ke klinik bagi pemeriksaan lebih lanjut.

4.   Tidak mahu makan
Kucing yang sakit biasanya tiada selera makan dan jika ia tidak makan dalam kuantiti yang sepatutnya buat jangka waktu yang agak lama, penurunan berat badan sudah tentu akan berlaku.
Beberapa perkara lain boleh juga menghilangkan selera makan kucing. Ini termasuklah seperti sakit gigi dan gusi. Bawa kucing anda ke klinik setiap tahun bagi mendapatkan pemeriksaan gigi dan gusi walaupun jika ia tidak sakit. Gigi dan gusi yang rosak boleh mengakibatkan datangnya penyakit-penyakit yang lain yang boleh mengancam jiwa.

5.   Selalu haus
Beberapa penyakit seperti kencing manis, penyakit buah pinggang, jangkitan virus (viral infection) dan ketumbuhan pada kelenjar adrenal (adrenal tumour) boleh mengakibatkan kantung air kencing (urinary bladder) dikosongkan dengan lebih kerap. Anda dapat melihat sendiri keadaan ini berlaku apabila kucing anda kencing dengan banyak. Seterusnya, apabila air kencing telah keluar dengan banyak, ia harus digantikan dan ini mengakibatkan kucing minum dengan banyak.
Jadi jika kucing anda selalu sangat haus, sudah tentu ia mempunyai masalah kesihatan. Tetapi perlu anda diingatkan di sini agar tidak terperanjat jika kucing anda minum lebih sedikit ketika musim panas kerana ini adalah suatu proses yang normal. Apabila cuaca panas, anda pun haus juga.

6.   Pendarahan
Pendarahan di mana darah sentiasa mengalir walaupun pada kadar (kuantiti) yang sedikit bukanlah suatu yang normal dan perlukan rawatan segera. Darah yang sentiasa keluar lambat laun akan mengakibatkan tubuh kucing kekurangan kandungan darah yang optimum bagi fungsi tubuh yang normal.
Tambahan pula, pendarahan mengakibatkan tubuh terdedah kepada racun (toxins), jangkitan (infections), pengumpulan nanah (abscesses), mahluk parasit (parasites) dan keracunan (poisoning).
Cuma anda tidak perlu risau jika terdapat pendarahan dari kemaluan kucing betina pada musim mengawan kerana kucing betina anda tu sedang datang bulan. Anda akan tahu bila kucing anda sedang mengawan apabila ia asyik meraung sepanjang hari untuk mendapatkan boyfriendnya.

7.   Sukar bernafas
Jika kucing anda tercungap-cungap atau mengeluarkan bunyi yang agak dalam ketika bernafas, ini mungkin menandakan masalah pada jantung atau paru-parunya.
Perkara-perkara lain yang boleh mendatangkan masalah pada sistem pernafasan kucing adalah seperti kehadiran cacing (heartworms), semput dan juga alahan (allergies). Namun jika terdapat virus di dalam sistem tubuhnya, adalah tidak mustahil jika ini boleh mendatangkan maut.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment