Wednesday 9 November 2016

3 JENIS ALAHAN YANG PERLU DIKAWAL

Dalam banyak-banyak alahan kucing, terdapat tiga jenis alahan yang sering berlaku. Alahan boleh menyebabkan perasaan tidak selesa dan gatal pada kucing. Jika tidak dirawat dengan betul, pelbagai masalah yang lebih serius boleh timbul seperti luka pada kulit, gatal pada mata atau masalah pernafasan yang boleh menyebabkan jangkitan yang serius.
Alahan merupakan tindak balas berlebihan (overreaction) terhadap sesuatu bahan yang biasanya tidak akan memberi sebarang kesan. Sistem pertahanan tubuh (immune system) kucing memberi tindak balas terhadap antigen yang terdapat pada bahan tersebut di mana ia memberi kesan terhadap sel darah putih. Seterusnya, tubuh akan mengeluarkan sejenis bahan kimia yang dipanggil ‘histamine’. Histamine ini akan menyebabkan pembuluh darah (capillaries) mengecil. Apabila ini berlaku, kawasan yang terlibat akan mengalami kekurangan bekalan darah. Kawasan tersebut akan ‘kepanasan’ dan menjadi gatal. Kalau sudah gatal, kucing pun menggarulah.

Berikut ialah tiga jenis alahan yang kerap berlaku:

1.   Alahan pemakanan (Food allergy)
Alahan jenis ini tidak berlaku serta-merta. Ia mengambil masa untuk mempamerkan simptomnya. Tambahan pula, kucing harus memakan makanan yang berkaitan secara berterusan. Sekiranya kucing makan makanan yang berkaitan dengan alahan ini sekali-sekala sahaja, tiada apa yang akan berlaku.
Petanda kucing sedang menderita alahan daripada makanan adalah seperti:
§  asyik menggaru bahagian leher dan kepala
§  keguguran bulu yang agak banyak
§  cirit-birit
§  asyik buang angin (kentut lah tu...)
§  jangkitan pada telinga (kadangkala)

Kucing boleh mendapat alahan ini daripada:
§  daging lembu
§  telur
§  produk tenusu (dairy products)
§  daging ayam
§  daging khinzir
§  nasi

Rawatan bagi alahan jenis ini bersandarkan proses eliminasi (food elimination test trial). Dalam proses ini, kucing akan diberi makanan khas buat beberapa minggu. Jika tidak terdapat sebarang reaksi negatif terhadap makanan tersebut, kucing akan diberi makanan yang baharu buat beberapa minggu lagi. Proses ini berulang sehingga dapat dikenal pasti jenis makanan yang mengakibatkan alahan pada kucing tersebut. Kadangkala proses ini memakan masa berbulan-bulan lamanya.

2.   Alahan daripada kutu (Flea allergy)
Antara banyak-banyak alahan, alahan inilah yang paling kerap berlaku. Alahan jenis ini adalah disebabkan oleh air liur kutu yang mencetuskan tindak balas pada badan atau sistem imunisasi kucing. Kucing tidak perlu memakan kutu untuk diserang alahan ini. Cukup sekadar kutu tersebut mengenakan air liurnya pada tubuh kucing.
Petanda awal boleh dilihat pada pangkal ekor kucing. Namun, ia juga sering dilihat pada kepala dan telinga kucing. Bulu kucing akan menjadi botak akibat menggaru dan menjilat secara berlebihan bahagian tubuh yang diserang alahan. Perhatikan agar jangkitan ini terkawal dan tidak merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Rawatan yang boleh diberikan adalah dengan menyapu krim (topical cream) atau ubat yang khusus untuk membantu meredakan gatal dan juga bagi mengelak daripada risiko jangkitan.

3.   Alahan daripada persekitaran (Inhalant allergy)
Alahan jenis ini sebenarnya sering juga berlaku. Ia disebabkan oleh reaksi yang berlebihan terhadap benda-benda halus dan kecil yang berterbangan di udara seperti kulat (mold), debunga (pollen) dan pijat habuk (dust mite).
Alahan ini menyebabkan rasa gatal sekitar muka, dada, perut atau kaki kucing. Di dalam kes yang lebih serius, kucing akan mengalami masalah pada sistem pernafasannya, contohnya seperti bersin tanpa henti.

Mengenal pasti punca alahan jenis ini agak rumit. Ini kerana kucing sentiasa terdedah pada terlalu banyak punca.
Bagi kes-kes yang serius, doktor akan memberi suntikan steroid untuk mengurangkan kesan alahan. Di negara Barat, para pemilik kucing akan kurang membuka pintu dan jendela rumah mereka ketika musim debunga (pollen season) untuk mengurangkan pendedahan kepada punca.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment