Wednesday 2 November 2016

GARU-GARU GELENG-GELENG

Mungkin anda pernah perhatikan sesetengah kucing sering menggaru-garukan telinga dan menggeleng-gelengkan kepala. Ia mungkin melucukan tetapi tahukah anda ianya disebabkan oleh pijat. Pijat yang tinggal di dalam telinga dipanggil ear mites. Jika jangkitannya serius, kucing akan merasa sakit di telinga dan telinganya berbau busuk. Masalah pijat telinga ini berlaku kepada anak kucing.
Akibat menggaru dengan kuat, secara tidak sengaja akan menyebabkan pembuluh-pembuluh darah yang halus di kelopak telinga menjadi luka. Malah kuping telinga kucing juga boleh membengkak.
Pijat ini akan menggigit saluran telinga untuk dimakan kerana makanannya adalah tisu dan cecair yang terdapat di dalam saluran telinga (ear canal). Akibat daripada gigitan ini, ia akan menyebabkan luka dan rasa tidak selesa kepada kucing. Selanjutnya, jangkitan bakteria boleh berlaku pada permukaan yang luka ini. Malah pada tahap yang lebih serius, kucing boleh mendapat sawan dan juga boleh menjadi pekak.
Walaupun kebanyakan kucing akan tergaru-garu apabila terdapat hanya beberapa ekor pijat di dalam telinga, namun sebahagian kucing tidak akan menunjukkan sebarang reaksi walau terdapat banyak pijat yang bersarang di dalam telinganya.
Jika anda dapati telinga kucing berwarna hitam dan penuh dengan kotoran serta bau yang busuk, kemungkinan besar kucing anda sedang diserang pijat telinga. Jika kejadian ini berlaku, anda tidak harus berlengah. Sebaiknya terus bawa kucing anda untuk mendapat rawatan doktor.
Anda dinasihatkan agar tidak mencuba untuk membersihkan sendiri kotoran di dalam saluran telinga kucing kerana dikhuatiri perbuatan ini akan mengundang lebih banyak masalah apabila saluran telinga kucing menjadi rosak. Saluran telinga kucing adalah sangat sensitif dan mudah rosak.
Jika anda hendak bersihkan telinga kucing anda juga, anda cuma boleh bersihkan di kawasan luaran sahaja dan jangan sampai masuk ke dalam telinga. Gunakan kapas atau cotton bud yang telah dicelup dengan minyak zaitun. Minyak zaitun bertindak sebagai minyak pelincir agar kulit telinga kucing tidak melecet. Lapkan kuping telinga menggunakan kapas tadi dengan perlahan dan berhati. Kalau boleh, hanya gunakan kapas dan jangan gunakan cotton bud bagi mengelak sebarang kecederaan daripada berlaku.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment