Thursday 3 November 2016

JIKA KUCING DIGIGIT ULAR

Lazimnya, ular tidak akan menggigit melainkan jika ia diserang. Seperti yang saya tahu, kucing memang pantang bila berjumpa dengan ular – pasti hendak diterkamnya. Walaupun selalu kita lihat kucing akan menang apabila berlawan dengan ular, namun hakikatnya tidak selalu begitu.
Banyak juga kucing yang tewas apabila bertarung dengan ular. Sekiranya kucing telah digigit ular, anda harus tahu apa yang perlu dibuat walaupun ulat tersebut berbisa atau tidak.
Sejurus selepas digigit ular, gusi kucing akan menjadi pucat atau keputihan dan pernafasan serta degupan jantungnya menjadi pantas. Petanda lain yang boleh anda lihat adalah terdapatnya dua lubang kecil yang merupakan bekas taring ular yang telah ‘menghinggap’ pada kucing.
Selang beberapa ketika (mungkin beberapa saat), petanda-petanda lain yang mungkin akan kelihatan adalah kesakitan, bengkak, muntah-muntah, sukar bernafas, lumpuh dan sawan.
Rawatan harus dilakukan secepat mungkin. Sekiranya ular dapat dibunuh, bawa bangkai ular tersebut bersama ke klinik haiwan. Ini bagi memudahkan doktor memberi ubat yang tepat kepada kucing yang terkena gigitan. Jika anda tidak dapat membunuh ular tersebut, cuba ingatkan ciri-cirinya seperti saiz, warna dan bentuk ular itu.

Apabila kucing digigit ular
Langkah 1:           Dekati kucing dengan berhati-hati. Jika kucing ketakutan atau resah, anda perlu menggunakan sedikit kekerasan untuk menahannya daripada meronta.

Langkah 2:           Cukur bulu kucing pada tempat gigitan.

Langkah 3:           Cuci bahagian gigitan sepenuhnya dengan menggunakan cecair tiga peratus hydrogen peroxide terus pada tempat gigitan.

Langkah 4:           Bawa kucing ke klinik segera.



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment