Tuesday 1 November 2016

CARA PERIKSA NADI KUCING

Satu daripada cara untuk memeriksa kesihatan kucing adalah dengan memeriksa nadinya. Sama juga seperti kita, kucing mempunyai tahap denyutan nadi yang optimum walaupun tahapnya berbeza daripada manusia.
Cara untuk memeriksa nadi kucing mudah sahaja dan anda boleh lakukannya sendiri tanpa banyak masalah.
Baringkan kucing anda agar ia berasa tenang dan selesa. Pegang satu daripada kaki belakangnya dan letakkan hujung jari anda di dalam pehanya (bahagian dalam kelengkang).
Picit peha kucing anda secara perlahan di bahagian peha dan kelengkangnya, sehingga anda dapat dapat merasakan nadi. Jika anda dapat merasakan nadi, ini bermakan anda telah menjumpai pembuluh darah femoral (femoral artery) kucing anda.
Bagi kucing sihat yang berada di dalam keadaan rehat, denyutan nadinya sepatutnya berada antara 120 dengan 200 denyutan seminit. Jika kucing anda berada di dalam keadaan tertekan (stressed) atau ia baru sahaja bermain, sudah tentu denyutan nadi yang akan anda dapat adalah lebih tinggi. Jadi, penting untuk memastikan kucing benar-benar berada di dalam keadaan tenang semasa nadinya diperiksa bagi mendapatkan kiraan yang tepat.

Denyutan nadi yang rendah
Sekiranya denyutan nadi kucing anda lemah (sukar dirasa ataupun kurang daripada 120 denyutan seminit), kucing anda mungkin sedang mengalami anemia di mana sel-sel darah merahnya berada di tahap yang rendah.
Sel-sel darah merah ini antaranya bertanggungjawab untuk membawa oksigen kepada sel-sel di seluruh tubuh. Jika jumlah sel darah merah berkurangan, ini bermakna sel-sel tubuh kurang mendapat oksigen bagi fungsi tubuh yang normal.

Denyutan nadi yang tinggi
Denyutan nadi yang tinggi (lebih daripada 200 denyutan seminit) juga menjadi masalah. Antara masalah yang sering dikaitkan dengan denyutan nadi yang tinggi adalah sakit jantung dan sakit pada kelenjar tiroid (thyroid gland). Kelenjar tiroid ini berfungsi untuk menghasilkan hormon bagi membantu pelbagai fungsi tubuh.
Kelenjar tiroid yang terlebih aktif mengakibatkan denyutan nadi bertambah tinggi. Jika kelenjar tiroid terlebih aktif, ini bermakna hormon yang berlebihan akan dikeluarkan dan tentunya hormon yang terlalu banyak akan mengakibatkan fungsi tubuh menjadi tidak normal.

Dapatkan rawatan

Pastikan anda bawa kucing anda ke doktor jika denyutan nadinya tidak normal. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa kucing anda. 


Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment