Sunday 6 November 2016

MEMILIH ANAK KUCING YANG SIHAT

Andaikata anda membawa balik anak kucing dari kedai haiwan, tepi jalan atau di mana sahaja, perkara yang paling mustahak yang perlu anda lakukan adalah untuk ‘membelek’ keseluruhan tubuhnya agar tidak terdapat sebarang petanda penyakit sebelum anda membuat keputusan untuk tinggal bersama anda.
Seterusnya, cuba pastikan umurnya. Anak kucing harus dijaga oleh ibunya sendiri sehingga umurnya sekurang-kurangnya tiga bulan. Anak kucing yang dipisahkan daripada ibunya sebelum berumur tiga bulan akan terbantut pertumbuhannya dan sering lemah. Seperti juga manusia, anak kucing juga memerlukan belaian dan tunjuk ajar daripada ibunya sebelum ia mempunyai keyakinan diri untuk memulakan kehidupan sendirian.
Tambahan pula, anak kucing yang berumur lebih dari tiga bulan sudah mempunyai sistem imuniti tubuh yang lebih baik.


Beberapa perkara lain yang perlu anda beri perhatian adalah berkaitan penampilannya:

1. Adakah anak kucing itu sangat kurus dan lemah? Rasakan perutnya. Jika perutnya bulat dan keras, ia mungkin mempunyai cacing di dalamnya.
2.   Adakah biji matanya bersih dan berkilat seperti kucing yang sihat? Adakah matanya berair dan berawan? Adakah matanya merah? Kucing yang menderita sakit mata harus mendapat rawatan kerana ianya mudah berjangkit kepada kucing-kucing yang lain.
3. Perhatikan bahagian dalam telinganya. Jika anda terlihat tompok-tompok hitam yang kering, ini mungkin menandakan kehadiran pijat telinga (earmites). Ini merupakan suatu yang biasa dialami oleh kucing.
4.    Lihat pula bulunya. Anak kucing yang sihat akan mempunyai bulu yang bersih dan berkilat. Adakah bulu anak kucing tersebut gugur sehinggakan terdapat petak-petak yang botak? Jika ia, ini mungkin disebabkan oleh kutu (fleas), penyakit kulit atau cacing ringworm.
5.  Buka mulutnya dan pastikan giginya bersih dan putih. Gusinya juga harus kelihatan sihat dan merah jambu. Periksa jika terdapat sebarang bengkak, kemerahan atau apa-apa sahaja yang tidak normal.
6.   Anak kucing yang sihat suka bermain dan cergas. Jika ia kelihatan tidak bermaya dan lemah, ia mungkin sedang sakit.
7.     Angkat anak kucing tersebut dan dekatkan hidungnya ke telinga anda. Dengarkan nafasnya. Jika nafasnya tersekat-sekat atau tidak lancar, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Periksa juga jika ia sering bersin atau batuk. Ini menandakan penyakit pernafasan (Upper Respiratory Disease) yang sering dialami oleh anak kucing.



Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment