Tuesday 1 November 2016

JIKA KUCING ANDA DEMAM

Adakah kucing anda kelihatan tidak bermaya dan lesu sahaja? Adakah ia asyik terbaring sahaja sepanjang hari? Jika kucing anda menunjukkan petanda-petanda (simptoms) seperti ini, kemungkinan besar ianya sedang demam.
Pastikan kucing anda yang demam diambil suhu badannya. Ianya boleh dilakukan dengan memasukkan termometer ke lubang dubur kucing.
Ada dua perkara yang ingin saya tegaskan di sini. Yang pertama, pastikan anda gunakan termometer digital – bukan yang jenis zaman nenek moyang yang menggunakan cecair merkuri dan diperbuat daripada kaca! Ini bagi memastikan termometer tidak pecah di dalam lubang dubur dan mengakibatkan kecederaan teruk.
Yang kedua, pastikan anda memasukkan termometer ke dalam lubang dubur dan bukan lubang kencing kerana jika tidak, lain pula ceritanya nanti. Kebiasaannya, lubang yang sekelilingnya berwarna hitam itulah lubang dubur. Kucing jantan biasanya tidak akan memberi banyak masalah apabila anda melakukan proses ini tidak seperti kucing betina yang mungkin  meronta sedikit – jangan kata saya tidak beritahu.
Anak kucing yang kecil pula (di bawah satu tahun) tidak digalakkan diukur suhunya sebegini kerana lubang duburnya terlalu kecil dan boleh mengalami kecederaan serius jika dibuat juga.


Proses memasukkan termometer dan mengambil suhu badan kucing:
1.     Dapatkan seorang untuk membantu anda memegang kucing dengan erat di dalam posisi ia berdiri. Kucing harus berada di dalam posisi berdiri kerana ia akan menenangkannya lantas mengurangkan kemungkinan kucing daripada meronta.
2.     Salutkan minyak atau gel pelincir seperti Vaseline, Petroleum Jelly atau KY Jelly pada bahagian termometer yang akan dimasukkan ke dalam dubur kucing. Ini bagi mengelakkan risiko melecet/luka semasa memasukkan termometer ke dalam dubur kucing. Jangan gunakan minyak masak atau minyak rambut kerana ia boleh mengakibatkan masalah kegatalan pada lubang dubur.
3.     Sekarang anda sudah bersedia untuk mengambil suhu badan kucing anda. Pada posisi kucing anda sedang berdiri, angkatkan ekornya sehingga anda dapat melihat lubang duburnya (biasanya ia berwarna gelap sedikit akibat saki baki najisnya). Dengan perlahan-lahan, masukkan termometer ke dalam lubang dubur kucing sehingga sedalam kira-kira dua sentimeter. Jika ianya terasa ketat, cabut termometer dan lakukan proses ini semula. Pastikan anda dan kucing anda berada dalam keadaan tenang sebelum memulakan proses ini semula.
4.     Apabila anda telah berjaya mendapatkan suhu badan kucing anda, basuh termometer dengan menggunakan bahan pembunuh kuman seperti Dettol dan sebagainya. Asingkan termometer bagi kucing dengan yang digunakan oleh manusia. Pastinya anda tidak mahu melihat sesiapa memasukkan termometer tersebut dimasukkan ke dalam mulutnya selepas termometer itu digunakan pada lubang dubur kucing anda.
5.     Kucing merupakan haiwan yang berdarah panas (warm-blooded). Pastinya suhu badan yang normal bagi kucing berbeza berbanding manusia. Suhu badan yang normal bagi kucing adalah dalam anggaran 38 dengan 39.2o Celcius.

 Jika kucing anda berada pada suhu melebihi 39.2o Celcius, kemungkinan besar ia sedang demam dan anda harus membawanya ke klinik haiwan dengan segera untuk pemeriksaan lanjut. Jika tangan anda terasa panas semasa memegang kucing anda, ini bermakna suhu badannya sudah berada di tahap yang terlalu tinggi dan memerlukan rawatan segera.
Jangan sekali-kali beri kucing anda makan ubat seperti Paracetamol (Panadol), aspirin dan lain-lain ubat demam khas untuk manusia kerana ini boleh mengakibatkan kerosakan serius pada hati kucing anda dan mungkin mengakibatkan maut.
Suhu badan yang rendah (di bawah 38o Celcius) juga bukan bermakna kucing anda tidak dalam bahaya. Ia mungkin sedang dalam trauma, mengalami anemia (kekurangan sel darah merah) atau diserang bakteria. Dapatkan rawatan doktor dengan segera. 


Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment