Thursday 27 October 2016

6 PENYAKIT YANG SERING DIALAMI KUCING

Walau tidak begitu berkesan, ada di antara pemilik kucing yang tidak membiarkan kucing mereka merayau di luar rumah. Ini bertujuan untuk mengurangkan pergaulan kucing mereka daripada kucing-kucing lain yang mempunyai penyakit yang berjangkit. Melainkan anda tidak mempunyai pekerjaan lain dan hanya menatap kucing anda 24 jam. Mungkin kucing anda akan bebas daripada penyakit.
Untuk anda menikmati kehidupan yang lebih normal, anda disarankan menghantar kucing ada untuk mendapatkan suntikan tahunannya. Antara penyakit yang menjadi musuh utama kucing adalah seperti berikut:
     1.   Feline Upper Respiratory Infection (URI)
Penyakit ini menjejaskan sistem pernafasan dan ianya banyak persamaan dengan penyakit selesema manusia.
Petanda kucing anda sedang menghidapi penyakit ini adalah seperti sering bersin, hidung dan mata berair, mata kemerahan, demam, tiada selera makan, bengkak di hidung, bibir, lidah atau gusi.
Penyakit ini tidak boleh dibiarkan tanpa mendapat rawatan khusus kerana ia boleh membawa maut.
Cara jangkitan adalah melalui sentuhan (contact) dengan kucing lain yang berjangkit, tempat tinggal dan udara yang kotor serta kurang zat makanan.

     2.   Rabies (penyakit Anjing Gila)
Walaupun kucing anda hanya duduk di rumah dan tidak pernah keluar, suntikan bagi Rabies masih perlu diberikan sebagai langkah berjaga-jaga.
Rabies boleh merebak melalui cakaran atau gigitan haiwan lain yang mempunyai penyakit ini. Virus akan merebak dari lokasi cakaran atau gigitan kepada sistem saraf dan akhirnya menuju kepada otak dalam masa dua hingga enam minggu.
Kucing yang menghidapi Rabies akan melalui tiga fasa: fasa prodromal, fasa furious dan fasa paralytic. Selama ia melalui tiga fasa, ia akan menjadi lemah, demam, sawan, bertindak ganas dan akhirnya akan mati.

     3.   Feline Panleukopenia (atau Feline Distemper)
Virus penyakit ini membunuh sel-sel di sumsum tulang, usus dan janin. Kucing yang berpenyakit selalunya mempunyai darah di dalam najisnya. Petanda lain adalah seperti kemurungan, demam panas, muntah-muntah, cirit-birit dans sering kehausan. Biasanya apabila kucing menunjukkan petanda-petanda ini, ia menandakan penyakit sudah merebak.
Jangkitan boleh berlaku apabila kucing anda tersentuh darah, air kencing, najis, hingus ataupun kutu dari kucing-kucing lain yang berpenyakit.

     4.   Feline Leukemia Virus (FeLV)
Penyakit ini serupa dengan leukemia bagi manusia di mana virus menyerang sistem kekebalan tubuh dengan cara membunuh sel darah putih. Ia mampu mengakibatkan penyakit lain termasuk beberapa jenis barah.
Antara 80 hingga 90 peratus kucing akan mati di dalam masa tiga tahun setelah dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Virus ini terdapat dengan banyak pada air liur kucing yang dijangkiti. Aktiviti seperti menjilat tubuh dan berkongsi bekas makanan dan minuman merupakan cara yang paling mudah virus ini merebak.

     5.   Feline Immunodeficiency Virus (FIV)
Penyakit ini lebih kurang sama dengan HIV atai AIDS bagi manusia dalam beberapa aspek. Walau bagaimanapun anda tidak perlu risau kerana anda tidak mungkin dijangkiti HIV atau AIDS daripada kucing yang menderita penyakit FIV ini.
Kucing boleh menghidapi FIV melalui cakaran dan gigitan di mana air liur kucing yang dijangkiti telah memasuki saluran darah kucing yang sihat.
Tanda-tanda kucing anda sedang menghidapi FIV ialah susah bernafas, tiada selera makan, cirit-birit untuk jangka waktu yang lama, demam yang berpanjangan, gusi dan mulut yang bengkak, penurunan berat badan hingga menjadi kurus dan juga sawan.

     6.   Feline Infectious Peritonitis (FIP)
Virus penyakit ini sering membawa maut dan ianya dihidapi bukan sahaja kucing peliharaan bahkan juga kucing-kucing liar yang terdapat di dalam hutan. Ini termasuk singa dan harimau kumbang.
Virus ini terbahagi kepada dua jenis iaitu kering dan basah. Kedua-dua jenis ini boleh mengakibatkan demam, kurang bermaya, muntah-muntah, cirit-birit, tiada selera makan dan kucing boleh menjadi sangat kurus.
Antara langkah pencegahan ialah tidak membiarkan kucing anda bergaul dengan kucing-kucing liar yang kelihatan tidak sihat.

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment