Monday 31 October 2016

KUCING PUN ADA JERAWAT

Mungkin ia berbunyi lucu tetapi ramai tidak tahu bahawa selain daripada tuannya, kucing pun boleh ditumbuhi jerawat.
Biasanya jangkitan berlaku di bawah dagu kucing. Ia kelihatan seperti kesan kotor. Ada kalanya ia berwarna kehitaman. Namun bagi kes-kes yang lebih serius, ia boleh menjadi kemerahan dan berdarah.

Tahukah anda bagaimana kucing boleh ditumbuhi jerawat?

Sebenarnya masalah jerawat kucing ini sering berlaku. Namun, kerana ia selalunya tidak serius, kita sering terlepas pandang. Malah tidak dinafikan ada di antara pemilik kucing yang tidak dapat mengenal pasti bagaimana rupanya jerawat tersebut.
Jika tidak serius, ada kalanya jerawat tersebut boleh hilang dengan sendiri tetapi bagi kes-kes yang serius di mana ia jelas kelihatan kemerah-merahan rawatan harus diberikan dengan segera untuk mengelak daripada keadaan menjadi bertambah buruk.
Kucing mempunyai dua jenis kelenjar (gland) yang dipanggil kelenjar peluh (sweat gland) dan juga kelenjar minyak (oil gland). Kelenjar peluh berfungsi mengeluarkan peluh dari badan. Kelenjar minyak pula berfungsi di dalam pengeluaran minyak bagi membolehkan kulit menjadi lembap dan tidak kering.
Sama seperti manusia, pengeluaran minyak yang berlebihan dari kelenjar minyak inilah yang menyebabkan jerawat. Kelenjar minyak terdapat di bahagian seperti bibir, ekor, dagu, kemaluan dan juga kelopak mata.
Apabila kelenjar minyak ini terlebih aktif daripada biasa, minyak akan terhasil secara berlebihan. Keadaan ini akan menjerumus ke situasi di mana liang-liang roma menjadi tersumbat. Sebelum tersumbat, liang roma ini besar kemungkinan sudah mempunyai kuman dan bakteria yang kini terperangkap oleh minyak tadi. Tanpa mempunyai tempat untuk keluar, kuman dan bakteria ini akan beranak-pinak dan selanjutnya menjadi jerawat.
Anda boleh merawat sendiri jerawat yang tidak serius dengan menggunakan sejenis bahan antibakteria yang dipanggil Chlorhexidine. Ia mudah didapati di kedai haiwan malah juga banyak terdapat di farmasi-farmasi.
Untuk masalah yang lebih serius pula, anda harus dapatkan rawatan doktor di mana doktor akan memberikan ubatan seperti antibiotik dan steroid.

Pencegahan di rumah
Perhatikan bawah dagu kucing. Jika di kawasan bawah dagu ini terdapat tanda-tanda kemerahan atau kehitaman, ini berkemungkinan besar adalah jerawat. Jika ini terjadi, jangan gunakan bekas makanan atau minuman kucing yang diperbuat daripada plastik. Tetapi guna yang diperbuat daripada besi atau seramik.
Jika kucing anda tidak mempunyai jerawat sekalipun, adalah lebih baik anda tidak menggunakan bekas makanan dan minuman daripada plastik kerana permukaan plastik, jika dilihat dengan mikroskop, mempunyai rongga-rongga atau lubang-lubang di mana kuman dan bakteria boleh ‘duduk’ di dalamnya.
Semasa kucing makan atau minum, sudah tentu bahagian dagunya (biasanya) akan ‘berlanggar’ dengan permukaan yang terdapat kuman dan bakteria ini. Seterusnya kuman dan bakteria ini ‘berhirah’ pula ke dagu kucing dan menyebabkan jerawat.

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment