Monday 31 October 2016

SUNTIKAN BAGI 3 PENYAKIT BERBAHAYA

Feline Infectious Enteritis, Feline Leukaemia Virus dan Feline Influenza – tahukah anda ketiga-tiga penyakit ini amat berbahaya pada kucing dan sebagai seorang pemilik kucing yang bertanggungjawab, anda harus melindungi kucing anda dengan memberinya suntikan vaksin bagi penyakit-penyakit ini setiap tahun.

Berikut kita akan belajar serba sedikit tentang penyakit-penyakit tersebut:
§  Feline Infectious Enteritis (FIE atau FPV)
Ia disebabkan oleh virus, ia amat mudah merebak dan mampu membunuh kucing dalam jangka waktu yang amat singkat.
Kucing yang dijangkiti mampu menyebarkan virus ini sekurang-kurangnya sehingga enam minggu selepas jangkitan pertama. Sekiranya sistem imuniti kucing tidak mampu melawan virus yang kuat ini, virus tersebut akan memasuki saluran darah dan sumsum tulang dan akan mengakibatkan penurunan tahap sel darah putih. Virus ini juga boleh merosakkan usus kucing.
Anak kucing amat mudah menghidapi penyakit ini dan penularan amat berleluasa semasa musim panas.
Antara simptom jangkitan adalah seperti peningkatan suhu badan secara mendadak (lebih daripada 39o Celcius), tiada selera makan dan minum, muntah-muntah dan juga darah pada najis.
Bagi keadaan yang amat serius, maut boleh berlaku dalam masa 24 jam! Tiada rawatan yang dapat diberi melainkan langkah pencegahan iaitu mendapatkan suntikan tahunan.

§  Feline Leukaemia Virus (FeLV)
Anak kucing paling senang terdedah kepada penyakit ini kerana sistem imuniti tubuhnya belum mampu melawan virus ini.
FeLV biasanya merebak melalui air liur dan hingus kucing yang telah dijangkiti. Antara petanda jangkitan adalah seperti hilang selera makan, bulu yang tidak sihat, terdapat jangkitan pada kulit dan pundi kencing, sawan, bengkak pada kelenjar, sering letih, demam dan sakit gusi.

§  Feline Influenza
Nama lain bagi Feline Influenza adalah Cat Flu. Penyakit ini mempunyai kebolehan untuk merebak dengan cepat; ianya merebak melalui bersin dan juga batuk. Selain daripada anak kucing, kucing dewasa juga mudah dijangkiti dan penyakit ini menyerang saluran sistem pernafasan kucing.
Bagi kucing yang telah mendapat suntikan vaksin, ia mudah dirawat dan kucing boleh sembuh dalam masa beberapa hari. Namun, bagi kucing yang tidak mendapat suntikan vaksin sebelum diserang, maut sering berlaku.
Simptom kucing yang telah dijangkiti ialah bersin, mata dan hidung berair, sesak nafas, demam, sukar bernafas, lemah dan juga tiada nafsu makan.


Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment