Monday 31 October 2016

KUCING ANDA BOSAN

Kebosanan adalah sesuatu yang lumrah lebih-lebih lagi bagi kucing yang asyik terperuk di dalam rumah. Ini kerana, selain makan dan minum, aktiviti lainnya ialah tidur. Kalau kehidupan kita setiap hari begitu, tentu bosan juga kan?
Keadaan ini akan bertambah buruk bagi kucing-kucing di mana tuannya bekerja sepanjang hari dan hanya balik lewat malam.
Kucing yang kebosanan akan lebih mudah menjadi gemuk dan kalau dah gemuk itu, pelbagai masalah kesihatan yang akan timbul.
Bagi anda yang kesuntukan masa untuk diluangkan bersama kucing anda, berikut adalah beberapa panduan bagi menambah keceriaan di dalam hidup kucing anda:
§  Jika kucing anda harus menghabiskan masa berjam-jam sendirian, mainkan radio atau lagu-lagu yang boleh menenangkannya. Bunyi dari radio atau televisyen akan member gambaran kepada kucing seolah-olah ada orang di dalam rumah.
§  Belikan mainan yang mengasyikkan di mana ia dapat bermain dengan sendiri. Mainan yang amat digemari oleh kucing adalah mainan yang dapat merangsang sifat memburu dan mengejar.
§  Biasakan kucing anda bergaul dengan teman-teman anda atau haiwan-haiwan lain.
§  Belikan kucing anda sebuah permainan di mana ia boleh memanjat – permainan seperti ini ada dijual di kedai keperluan haiwan.
§  Dapatkan sejenis herba yang diberi nama catnip – kebanyakan kucing amat terangsang dengan bau daripada herba ini.
§  Luangkan masa untuk bermain dengan kucing anda dan berikan ia belaian yang paling istimewa – kucing juga perlu dibelai.
§  Sediakan barang seperti kotak di mana kucing dapat menyorok – letakkan kain buruk di dalamnya bagi menambah keselesaan.
§  Sediakan tempat atau benda di mana ia boleh mencakar (scratching post) kerana mencakar merupakan antara hobi yang digemari kucing.
§  Tanam sedikit rumput yang dipanggil cat grass (boleh didapati di kedai keperluan haiwan). Kucing suka menguyah cat grass ini.
§  Jangan longgokkan semua mainan kucing pada satu masa kerana kucing akan berasa bosan dengan mainan yang sama. Simpan separuh daripadanya dan pelbagaikan mainannya.
§  Antara mainan yang paling murah ialah kertas terpakai yang digumpal menjadi bongkah kertas dan lampu picit di mana kucing anda pasti akan mengejar cahaya dari lampu picit.

§  Jika anda memerlukan teman, kucing pun perlukan teman juga... jadi dapatkanlah kucing anda teman yang baru. 

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment