Sunday 30 October 2016

SEMBELIT OH SEMBELIT

Sembelit merupakan satu keadaan yang boleh dikira agak biasa bagi semua kucing. Mungkin hanya kita sahaja yang kurang mengetahuinya. Rata-rata kucing yang berumur dalam lingkungan lapan tahun ke atas sering mengalaminya.
Kucing yang sembelit akan menunjukkan keadaan seperti meneran terlalu lama ketika hendak buang air besar, cuma sedikit najis yang keluar dan berbentuk ketulan kecil dan kering. Cukuplah sekadar anda melihat najisnya – jangan disentuh.Sembelit bukanlah satu penyakit. Ia lebih merupakan satu cara pemberitahuan mengenai sesuatu yang tidak normal pada proses penghadaman lebih-lebih lagi pada usus. Di antara punca sembelit adalah seperti:
·   Pemakanan yang tidak seimbang di mana terdapat kekurangan serat. Serat penting bagi membantu melancarkan pengeluaran najis dalam tubuh.
·    Terdapat banyak bulu yang tergumpal di dalam usus (furballs). Ini menghalang perjalanan bahan buangan (najis) dari usus ke luar tubuh. Ibarat paip tersumbat.
·        Kekurangan cecair dalam tubuh. Apabila kucing kurang mengambil cecair (melalui minuman atau makanan), tubuh kucing akan menyerap air daripada system penghadaman. Ini secara tidak langsung mengakibatkan najis menjadi kering dan najis yang kering lebih sukar untuk dikeluarkan daripada tubuh akibat kurang lancar.
·        Gemuk.
·    Kurang senaman – seperti kucing saya yang asyik tidur sepanjang hari.
·        Stres.
· Tempat pembuangan najis yang kotor. Kucing tidak suka menggunakan tempat pembuangan najis yang kotor dan jika ia tidak mendapat tempat pembuangan najis yang sesuai, ia akan menahan daripada membuang air besar sehingga ia menjumpai tempat yang sesuai. Jika masa yang diambil untuk mencari tempat pembuangan najis terlalu lama, najis kucing akan menjadi lebih kering maka terjadilah sembelit.
·        Terdapat halangan di dalam usus seperti tumbuhan (tumour).
·        Sakit daripada kesan luka.
·        Kerosakan urat saraf.

Setiap kucing yang sihat harus membuang najis sekurang-kurangnya satu atau dua kali sehari.
Jika anda dapati sembelit kucing anda berlarutan, bawa ia terus kepada doktor. Jika rawatan dilambatkan, kadar toksin di dalam tubuh kucing akan meningkat secara mendadak pada paras yang bahaya. Selain itu, beberapa komplikasi lain boleh timbul di mana anda mungkin harus membelanjakan wang ribuan ringgit untuk rawatan.
Kucing yang mengalami sembelit akan kelihatan:
·        Kurang selera makan
·        Keletihan
·        Tidak terurus
·        Membongkok (sebab menahan sakit di perut)
·        Muntah
·        Darah pada najis – akibat kesan luka daripada geseran antara najis yang kering (dan keras) dengan dinding-dinding usus yang lembut

Jika kucing anda kerap mengalami sembelit, pastikan ia diberi minum air yang bersih secukupnya. Pastikan anda pantau bekas minumannya untuk pastikan ia minum air. Jangan hanya diletakkan sahaja di atas lantai.
Air yang disediakan juga harus bersih dan segar. Jika tidak, kucing pun tidak ada selera hendak minum. Tukar air minumannya setiap hari dan jangan biarkan bekas tersebut berkeledak dengan lumut.
Jika kucing anda sembelit dan ia hanya makan biskut kucing, tukarkan kepada makanan dalam tin kerana ia mengandungi kandungan cecair yang jauh lebih tinggi daripada biskut kucing. Sesetengah kucing pula akan mengalami sembelit jika diberi susu.

Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, jangan beri kucing anda minum susu. Hanya sekadar air biasa yang bersih sudah mencukupi. 

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu, oleh Idham Jantan.

1 comment: