Monday 31 October 2016

KUCING PUN SAKIT GIGI?

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kucing juga mengalami sakit gigi dan gusi. Biasanya ia berlaku kepada kucing yang melebihi usia lima tahun. Ianya akan berlaku lebih kerap jika kesihatan oral kucing anda tidak dijaga rapi.
Namun, oleh kerana kesibukan masa, ramai pemilik tidak mengendahkan sangat perkara ini. Akibatnya, keadaan boleh menjadi semakin buruk.
Walau bagaimanapun, sakit gigi dan gusi bagi kucing sedikit berbeza daripada manusia dan ia dikenali sebagai Feline Odontoclastic Resorptive Lesions (FORL). Bagi kes yang tidak serius, dikategorikan pula sebagai Kelas 1 manakala bagi yang paling teruk, Kelas 5.
Harus anda ingat bahawa sakit gigi atau gusi ini mungkin nampak remeh tetapi di dalam mulut kucing yang sedang menderita sakit gigi atau gusi mempunyai jutaan bakteria yang boleh membawa kesan buruk terhadap organ-organ lain seperti buah pinggang, hati dan jantung.

Petandanya
Petanda pertama bagi mengetahui jika kucing anda mengalami sakit gigi atau gusi adalah menghidu mulutnya. Jika kebiasaannya kucing anda mempunyai bau mulut yang paling harum dalam dunia tetapi tiba-tiba menjadi busuk, alamatnya mungkin kucing anda sedang sakit gigi atau gusi.
Petanda yang kedua adalah kucing tidak mahu makan. Manakan tidak, kawan itu tengah sakit gigi, macam mana dia nak kunyah makanannya. Oleh kerana kucing tidak mahu makan, ia akan kelaparan dan ada juga yang tidak mahu minum menyebabkan tahap cecair di dalam tubuh menjadi terlalu rendah dan boleh membawa maut.
Petanda yang ketiga pula anda akan dapati air liur kucing asyik meleleh di tepi mulutnya. Kadangkala terdapat darah pada air liur.
Petanda yang berikutnya adalah anda mendapati kucing anda asyik menguyah di sebahagian mulutnya iaitu di tempat di mana gigi atau gusinya tidak sakit.

Rawatan susulan
Sekiranya anda dapati kucing anda sakit gigi atau gusi, bawa segera ke klinik haiwan. Jika kucing sedang sakit gigi, ianya akan dicabut oleh doktor haiwan. Jika kucing sedang sakit gusi pula, ubat yang sesuai akan diberikan untuk merawatnya.

Sebelum terkena
Sebagai langkah berjaga-jaga, anda dikehendaki membawa kucing anda ke klinik haiwan untuk diperiksa gigi dan gusinya sekurang-kurangnya setahun sekali.
Untuk amalan harian pula, anda dinasihatkan untuk memberus gigi kucing sekurang-kurangnya sekali sehari terutama setelah ia makan. Ini bagi mengelak pertumbuhan plak (kerak) gigi daripada terhasil dan seterusnya menyebabkan sakit gigi. Plak ini terhasil lebih kurang enam hingga lapan jam setelah memakan makanan.
Ambil sebatang cotton bud dan berus dengan perlahan di kawasan gusi kucing. Jika terdapat kesan darah atau kucing meronta apabila anda berbuat begini, kemungkinan besar gigi atau gusinya sedang sakit.


Fakta menarik:
§  Kucing mempunyai dua pasang gigi – gigi susu dan gigi kekal.
§  Kucing yang baru lahir mempunyai gigi susu sebanyak 26 batang.
§  Apabila berumur 4 bulan, kucing akan mempunyai 30 batang gigi kekal (dewasa). 

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

1 comment: