Monday 31 October 2016

PETANDA KUCING ANDA MUNGKIN AKAN BUTA

Mata merupakan antara pancaindera yang amat menakjubkan dan bermanfaat daripada Tuhan kepada mahluk-Nya termasuk juga kucing. Alangkah susah hidup ini tanpa sepasang mata.
Walaupun jika dilahirkan dengan mata sempurna, namun kita harus menjaganya dengan baik agar dapat menggunakan nikmat penglihatan ini selama mungkin. Mata yang tidak dijaga boleh membawa pelbagai masalah dan mengakibatkan penderitaan malah hilang daya penglihatan sama sekali... iaitu menjadi buta.

Tahukah anda apakah petanda yang menunjukkan kucing anda sedang menghadapi masalah mata dan memerlukan rawatan segera? Perhatikan jika kucing anda menghadapi masalah seperti berikut:

§  Jangkitan
Adakalanya mata kucing tertutup sehingga separuh atau lebih dan/atau terdapat kemerahan dan/atau mata berair. Ada kemungkinan jika terdapat cahaya yang terang (seperti dari lampu picit), kucing tidak mampu memandang terus terhadap cahaya tersebut. Sesetengah kucing akan menggaru-garu matanya. Semua ini mungkin akan mengakibatkan luka pada kornea mata, kehadiran benda halus dalam biji mata dan jangkitan human.

§  Bengkak, berair, kemerahan
Biasanya ini merupakan jangkitan pada tisu biji mata. Ia mungkin berlaku akibat demam selesema (cat flu), alahan, jangkitan ataupun kegatalan pada mata. Bagi keadaan yang tidak serius, anda boleh membersihkan kotoran yang terdapat pada luar kelopak mata.
Caranya mudah sekali iaitu dapatkan kapas dan rendam ke dalam air suam beserta sedikit garam. Selepas itu, anda boleh bersihkan kelopak mata kucing  dengan perlahan. Awas jika kucing kesakitan semasa anda semasa anda melakukannya kerana ini petanda masalah telah menjadi lebih serius dan anda harus bawa kucing ke doktor.

§  Cecair pekat berwarna kuning atau hijau
Terdapat pada kelopak mata, ia mungkin diakibatkan oleh benda halus dalam biji mata ataupun jangkitan kuman.

§  Biji mata seakan terkeluar
Dikenali sebagai ‘mata terjojol’ atau ‘kelodok’, antara puncanya adalah jangkitan kuman, tumbuhan pada belakang biji mata, mahupun tekanan yang tinggi pada biji mata atau apa yang dipanggil sebagai glaucoma.

§  Biji mata berawan
Dikenali sebagai katarak, kucing yang mengalaminya akan mempunyai biji mata seperti diselaputi awan yang putih. Ada kalanya seluruh biji mata berwarna putih.

Apa yang telah dibincangkan di atas merupakan beberapa masalah pada mata kucing di mana ianya akan menjadi masalah yang lebih serius jika rawatan tidak diberi dengan segera.
Bagi anda yang menggunakan titisan pembersih mata seperti Optrex dan Eye-Mo bagi membersih mata kucing, saya syorkan anda gunakan air yang dibubuh sedikit garam sahaja ataupun gunakan Saline Solution. Sesetengah titisan pembersih mata bagi manusia adalah tidak sesuai bagi kucing kerana terdapat steroid yang boleh mengakibatkan kucing menjadi buta. 



Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment