Monday 31 October 2016

JENIS-JENIS CACING

Antara masalah yang paling sering dialami kucing seluruh dunia ialah masalah kucing. Bagi kebanyakan orang, jika mereka mendapati najis kucing mereka ada cacing, mereka akan biarkan sahaja kerana dianggap normal.
Lagipun, manusia juga terkena jangkitan cacing ini dan tiada yang mati daripadanya (lain pula ceritanya di negara-negara Afrika). Namun ini adalah kesilapan besar yang boleh membawa kepada masalah yang lebih serius pada hari muka jika tidak ditangani pada awalnya.
Jenis-jenis cacing bagi kucing bagi kucing terdapat dalam tiga kategori yang besar iaitu Roundworm, Hookworm dan Tapeworm.

1.   Roundworm
Cacing jenis ini terbahagi kepada dua jenis iaitu Toxocara Cati dan Toxascaris Leonine. Kucing boleh memperolehinya daripada tiga cara. Pertama melalui susu ibu dan kedua melalui tanah yang mengandungi telur Roundworm dan akhir sekali, melalui haiwan yang telah dijangkiti cacing ini.
Roundworm ini merupakan punca utama cirit-birit dan ia boleh menyebabkan kucing muntah. Kadangkala, kita dapat melihat cacing dalam muntah kerana ia agak besar, berwarna putih, berbentuk seperti spageti dan ada yang sepanjang 15 sentimeter.
Cacing ini memakan makanan di dalam tubuh kucing dan boleh menyebabkan perut kucing menjadi buncit. Bagi kes yang serius pula, cacing-cacing ini boleh terkumpul di dalam usus dan menyebabkan usus menjadi tersumbat.
Ubat bagi merawat cacing jenis ini mengandungi bahan aktif seperti Febantel, Pyrantel Pamoate, Piperazine, Fenbendazole, Selamectin dan Emodepside.

2.   Hookworm
Cacing ini mendapat namanya daripada bentuk mulut seperti cangkuk yang digunakan untuk mencangkukkan dirinya pada dinding usus. Ia amat kecil dan pendek (dalam dua milimeter) dan amat sukar dilihat dengan mata kasar.
Jenis yang biasa dijangkiti oleh kucing adalah Anclyostoma Tubaeforme dan Anclyostoma Braziliens. Jangkitan biasanya berasal dari tanah yang tersimpan telur cacing ini. Kucing boleh memperolehinya apabila ia termakan tanah tersebut. Jika cacing ini terdapat pada kulit kucing, ia juga boleh menembusi kulit kucing dan terus pergi ke usus kucing.
Cara untuk memastikan kehadiran cacing ini adalah menerusi pemeriksaan visual terhadap najis kucing dengan menggunakan mikroskop.
Kesan jangkitan terhadap kucing adalah kekurangan sel darah merah, kelesuan, gusi yang pucat, darah di dalam najis dan juga penurunan berat badan. Anak kucing juga boleh mengalami tumbesaran yang terencat.

3.   Tapeworm
Cacing yang berbentuk seperti tali pita mempunyai pelbagai jenis. Namun, jenis yang biasa terdapat dipanggil Dipylidium Caninum.
Sama seperti Hookworm, ia juga menggunakan taring-taring di dalam mulutnya untuk melekatkan dirinya pada dinding usus kucing. Ia boleh tumbuh sehingga beberapa inci panjang apabila dewasa.
Kucing dijangkiti Tapeworm melalui kutu dan pijat yang hinggap pada kucing. Apabila kucing menjilat badannya yang digigit kutu atau pijat, secara tidak langsung ia akan termakan kutu atau pijat ini. Apabila kutu atau pijat ini sampai ke usus kucing, jika terdapat telur cacing pada kutu atau pijat, telur-telur tersebut akan menetas dan melekatkan dirinya pada usus kucing.
Biasanya jangkitan Tapeworm ini tidak berbahaya kepada kucing dan boleh dirawat melalui ubat-ubatan. Namun ada sejenis cacing Tapeworm yang agat sukar untuk dirawat dan ia diberi nama Spirometra. Kucing yang dijangkiti cacing ini harus mendapat rawatan doktor. Sebagai langkah berjaga-jaga, anda harus mengandaikan semua kucing dijangkiti cacing dan oleh itu harus diberi ubat cacing. Selain daripada doktor, ubat cacing boleh didapati dari kedai haiwan. 


 Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment