Monday 31 October 2016

BETUL ATAU TIDAK?

Mungkin kita sering dengar nasihat daripada rakan-rakan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kucing. Tidak dinafikan, walaupun niat mereka mungkin baik namun ada kalanya malah sering juga berlaku di mana ‘nasihat-nasihat’ ini tidak berasas langsung.
Sebahagian daripada ‘nasihat’ yang kita sering dengar adalah:
  §  Betul ke?
Apabila kucing jatuh dari tempat tinggi, ia akan mendarat dengan kakinya mencecah lantai.

Fakta sebenarnya:
Berdasarkan pada mekanisma tubuh kucing, hamper 90 peratus kucing akan mendarat dengan kakinya. Kebolehan mendarat ini bermula dari umur tiga hingga empat minggu. Apabila ia berusia tujuh minggu, ia sudah mahir dalam ilmu mendarat in. Kemahiran mendarat ini bagaimanapun hanya boleh berlaku pada ketinggian dalam satu meter.
Namun begitu, anda tidak dinasihatkan membaling kucing anda semata-mata untuk melihat ia mendarat dengan kakinya. Ini kerana kucing boleh jatuh dengan kelajuan 100 kilometer sejam dan jika ia jatuh dari tempat yang tinggi, sudah tentu ini akan mengakibatkan kecederaan yang serius.


  §  Betul ke?
Kucing harus diberi minum susu.

Fakta sebenarnya:
Biasa kita lihat orang sering memberi minuman susu kepada kucing. Jika anda hendak beri kucing minum susu juga, hanya beri kepada anak kucing dan bukan kucing dewasa. Kebanyakan kucing dewasa memberi tindak balas yang negatif terhadap laktosa (lactose) yang terdapat dalam susu. Sekiranya anak kucing tidak mendapat cirit-birit apabila diberi minum susu, anda boleh terus berikan ia minum susu.
Anda boleh dapatkan susu kucing dari kedai haiwan dalam bentuk siap untuk diminum dan juga serbuk. Jangan beri kucing minum susu lembu kerana susu lembu terlalu pekat untuk kucing. Jika anda tiada pilihan lain dan terpaksa member minuman susu lembu, pastikan anda larutkan ia dengan air supaya ia cair sebelum diberikan kepada kucing.


   §  Betul ke?
Kucing akan bertambah berat badan selepas dikembirikan.

Fakta sebenarnya:
Memang betul ada sesetengah kucing yang naik berat badannya selepas dikembirikan namun bukan semua kucing begitu. Faktor utama yang menyebabkan kucing menjadi gemuk lebih kurang sama dengan manusia juga. Antara puncanya adalah kurang senaman dan makan terlalu banyak.
Sebelum kucing dikembirikan, ia mempunyai hormon-hormon yang menyebabkannya menjadi aktif. Tetapi, selepas dikembirikan, hormon-hormon ini sudah tiada lagi. Oleh sebab itu, kucing akan menjadi kurang aktif jika dibanding sebelum ia dikembirikan. Namun jika kucing tetap makan pada kadar yang sama seperti sebelum ia dikembirikan, ia akan menjadi gemuk kerana kurang melakukan aktiviti yang dapat menukar lemak yang berlebihan.


   §  Betul ke?
Kucing yang tidak keluar rumah tidak akan sakit.

Fakta sebenarnya:
Kenyataan ini ada betul dan salahnya. Kucing yang tidak dibenarkan keluar memang terlindung daripada penyakit-penyakit yang boleh didapati daripada sentuhan (contact) dengan keadaan kotor di luar rumah dan juga jangkitan dari haiwan-haiwan lain yang sudah berpenyakit. Namun begitu, kucing yang berada di dalam rumah tidak dapat mengelak daripada virus yang sentiasa berada di udara.
Walaupun begitu, kucing dalam rumah tetap boleh mendapat penyakit-penyakit yang berada di luar rumah. Bagaimana caranya? Ianya boleh berlaku jika kucing menyentuh pakaian (baju, kain, kasut dan sebagainya) pemiliknya yang telah ‘dihinggapi’ oleh penyakit apabila pemilik tadi berada di luar rumah.


   §  Betul ke?
Bawang putih dapat membunuh cacing.

Fakta sebenarnya:
Ada di antara kita yang mencampurkan bawang putih yang telah dilumatkan ke dalam makanan kucing bagi tujuan membunuh cacing. Bawang putih mengandungi bahan kimia yang boleh membunuh sel darah merah. Oleh itu, jangan sesekali memberi kucing anda makan bawang putih. Antara kesan sampingan akibat pengambilan bawang putih adalah muntah-muntah, cirit-birit dan air kencing yang berwarna kemerahan. Adakalanya, ia boleh membawa maut jika kandungan bawang putih terlalu tinggi.
Jika kucing anda dijangkiti cacing, berika ia ubat khas bagi membunuh cacing yang mudah didapati di kedai haiwan mahupun klinik haiwan.


   §  Betul ke?
Fungsi misai kucing adalah bagi tujuan penyeimbangan ketika bergerak.

Fakta sebenarnya:
Cuba anda gunting misai kucing... adakah ia akan berjalan tersenget-senget? Saya cuma bergurau sahaja. Jangan pula ada yang benar-benar melakukannya.
Misai membantu kucing untuk ‘meraba-raba’ keadaan sekelilingnya ketika bergerak. Ia adalah organ yang amat sensitif di mana ia mampu untuk mengesan peralihan dalam hala tuju pergerakan angin walau sedikit pun. Sebenarnya, fungsi utama misai kucing adalah bagi membantunya memastikan sama ada badannya muat untuk masuk atau keluar dari sesuatu tempat yang sempit. Ini kerana lebar misainya lebih kurang sama dengan lebar badannya. Jika sesuatu tempat itu terlalu sempit, sudah tentu misai kucing akan terlanggar tepi tempat yang hendak ditujunya. Ini akan memberi isyarat kepada otak kucing yang mengatakan tempat tersebut terlalu sempit baginya.


   § Betul ke?
Kucing menjilat-jilat lukanya bagi mempercepatkan penyembuhan.

Fakta sebenarnya:
Air liur kucing mempunyai beberapa bahan yang bersifat antibakteria dan antivirus seperti peroxidase, lactoferrin, defensins, cystatins dan thrombospondin yang dapat membantu mempercepatkan penyembuhan pada luka.

Yang menjadi masalah badan apabila kucing menjilat lukanya, lebih-lebih lagi jika ia melakukannya dengan agresif, lidahnya yang kasar  itu boleh mengakibatkan lukanya menjadi besar. Apabila lukanya menjadi besar, sudah tentu ia akan memakan masa yang lebih banyak untuk sembuh. Tambahan pula, luka yang besar akan ‘mengundang’ lebih banyak kuman dan bakteria yang sudah tentunya akan melambatkan lagi proses penyembuhan. 

Sumber rujukan:

Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu”, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment