Friday 28 October 2016

BAGAIMANA HENDAK BAGI KUCING TELAN PIL?

Bayangkan senario ini. Anda membawa kucing anda berjumpa doktor. Selepas memeriksa kucing anda, doktor pun memberi beberapa ubat yang harus diambil. Masalahnya, semua ubat yang diberi adalah dalam bentuk pil. ‘Kalau rasanya manis, tidak apa juga. Sudah tentu pahit. Bagaimana kucing saya nak telan pil pahit yang besar ni? Kalau dijolokkan terus ke dalam mulut kucing, silap hari bulan, putus jari saya ini.
Terlebih dahulu, jika anda rasakan pil terlalu besar, ada boleh pecahkannya supaya menjadi lebih kecil agar mudah ditelan. Anda boleh letakkan pil ke dalam kelongsong plastik dan ketuk dengan menggunakan objek yang keras. Tujuan menggunakan kelongsong plastik adalah agar pil tidak berkecai dan bersepah apabila diketuk.
Selain itu, anda boleh menggunakan sejenis alat yang boleh didapati dari farmasi atau kedai keperluan haiwan yang diberi nama pill cutter. Harganya murah – cuma beberapa ringgit sahaja dan pemotongannya juga bersih (tidak berkecai menjadi debu halus).
Seterusnya kita akan bincangkan bagaimana untuk memberi kucing makan pil tersebut.
1.   Pill popper
Alat pill popper ini boleh dibeli dari kedai keperluan haiwan. Ianya berbentuk seperti alat suntikan dan kebanyakan dibuat daripada plastik.  Cara menggunakannya ialah membuka dahulu penyepit yang ada di hujung alat ini. Apabila penyepitnya terbuka, letakkan pil di dalamnya dan kemudian tutup semula penyepit. Seterusnya, anda sudah boleh memulakan proses memberi kucing anda makan pil tersebut.
     Sebelum meletakkan pill popper ke dalam mulut kucing anda, dapatkan bantuan seorang kawan untuk memegang badan kucing anda dengan erat daripada belakang. Ini akan mengelakkan kucing daripada meronta. Tetapi pastikan pegangan tidak begitu  kuat sehingga menyakitkan kucing.
Seterusnya, dengan menggunakan satu daripada tangan anda, pegang kucing. Kemudian, picit bahagian rahang kucing agar ia membuka mulutnya. Masukkan pil ke dalam tekak kucing dengan menggunakan pill popper. Lepaskan pil apabila ia telah berada jauh dalam rongga mulut. Sekiranya anda lepaskan pil di kawasan luar mulut, kucing akan merasakan pil tersebut dan mengeluarkannya semula. Jadi jika pil masuk terus ke dalam tekak, kucing tiada pilihan lain kecuali menelan pil tersebut.
Sebenarnya proses ini bukanlah mudah bagi yang pertama kali mencubanya. Selepas beberapa kali melakukannya, saya pasti anda akan menjadi mahir. Saya sebenarnya pun bukanlah mahir sangat. Jika kucing meronta, selimutkannya agar ia berasa lebih tenang.
         
2.   Gaul bersama makanan
Satu daripada cara yang paling mudah untuk memberi kucing makan ubat ialah menggaulkan ubat tersebut di dalam makanannya. Cara ini memang mudah tapi keberkesanannya tidak terjamin. Silap hari bulan, kucing tidak mahu makan ubat itu langsung. Ubat pula dah terbazir.
Keberhasilan proses ini sebenarnya bergantung kepada sejauh mana kepahitan ubat yang diberi. Kucing mempunyai deria bau dan rasa yang amat tinggi dan ia dapat mengesan jika makanannya tidak mempunyai bau dan rasa seperti yang sepatutnya.  
Bagi ‘menipu’ kucing anda untuk makan ubat yang digaul di dalam makanan, tanyakan doctor jika terdapat pil yang mudah hancur. Ada sesetengah pil yang mudah hancur dan ini menyenangkan anda menggaulkannya ke dalam makanan. Gaulkan pil tersebut bersama makanan dalam tin. Jika digaul bersama makanan kering (biskut kucing), jangan kata kucing, saya sendiri pun boleh tahu ada ubat di dalamnya.
Pilih perisa makanan dalam tin yang kuat baunya seperti perisa ikan tuna. Bau makanan yang kuat ini akan ‘menyorok’ baud an rasa ubat. Apabila hendak memberi kucing makan, pastikan ia sedang betul-betul lapar. Ini bagi memastikan kucing menghabiskan semua makan (dan ubat) nya.

Amaran!!
Pastikan ubat yang hendak anda berikan pada kucing telah mendapat keizinan doktor. Dosnya juga harus seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor.
        Ubat-ubatan yang khusus bagi manusia seperti Aspirin, Brufen dan Paracetamol (Panadol) boleh menyebabkan penyakit serius kepada kucing seperti pendarahan usus dan juga maut. Paracetamol (Panadol) pula telah terbukti menyebabkan kerosakan hati pada kucing. Jadi, waspadalah!


Sumber rujukan:
Panduan Penting Penjagaan & Rawatan KUCING Yang Anda Harus Tahu, oleh Idham Jantan.

No comments:

Post a Comment